Skip to main content

WARGA USM DIGALAK TERUSKAN AMALAN BERSEDEKAH

Iftar 2015

BERTAM, 9 Julai 2015 - Setiap warga USM diseru agar meneruskan usaha untuk membantu dan memberi sumbangan sedekah jariah kepada golongan yang kurang bernasib baik terutamanya di bulan ramadhan yang mulia ini.

Berucap dalam Majlis Iftar Perdana anjuran Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Naib Canselor, Profesor Dato' Omar Osman menyeru agar usaha murni untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat sekitar perlu diteruskan.

"Walaupun ianya bukan bidang penghasilan utama universiti, sekurang kurangnya ia dapat menjadi salah satu tugas amal yang dilakukan demi meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat setempat," katanya.

"Bantuan yang berterusan mampu mendekatkan universiti terutamanya IPPT kepada masyarakat sekitar, bukan sahaja menerusi perkhidmatan kesihatan dan rawatan terbaik yang diberikan, namun ia meliputi segala aspek kehidupan yang lebih sempurna," tambahnya lagi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah IPPT, Profesor Abd. Aziz Tajuddin di hadapan hampir 300 warga IPPT dan keluarga, anak yatim serta ibu tunggal yang hadir dalam majlis berkenaan.

Majlis yang diadakan di Perkarangan Kompleks Klinikal ini adalah merupakan program tahunan bagi merapatkan hubungan silaturahim dan juga mengaktifkan lagi interaksi hubungan kerja antara warga IPPT dengan pucuk pimpinan USM serta keluarga staf. Selain itu, ia juga bagi meraikan dan membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Sumbangan duit raya dan barang keperluan harian disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan kepada hampir 30 orang penerima.

Menerusi sumbangan yang diberikan, sekurang-kurangnya dapat memberikan keceriaan kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengarah Pusat Islam, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Idiris Saleh serta Timbalan-timbalan Pengarah IPPT.

Teks: Faisal Jamaludin / Foto : Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 898