SALAM AIDILFITRI 1436 HIJRIAH
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Pertama sekali marilah kita panjatkan rasa syukur ke hadrat IIahi kerana dengan limpah rahmat dan kasih sayangNya diberi kesempatan untuk menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak dan kini tibalah masanya hendak meraikan Hari Raya Aidilfitri yang merupakan hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya mengharungi cabaran, dugaan dan rintangan ketika berpuasa.
Warga IPPT yang dikasihi sekalian, Aidilfitri membawa maksud kembali kepada fitrah seperti mana bayi baru dilahirkan yang bersih atau dalam erti kata yang lain tidak berdosa. Maka sebab itulah Allah fardukan ke atas umat Nabi Muhammad SAW dengan perintah berpuasa kerana hendak menjadikan kita sebagai hamba yang bertaqwa. Seperti mana yang kita sedia maklum di antara pengertian puasa ialah menahan diri daripada lapar dan dahaga dan perkara yang membatalkan puasa.
Di bulan Ramadhan, selain berpuasa, kita digalakkan untuk melipat gandakan amal ibadah seperti sembahyang teraweeh, berqiamullail, bertadarus, berzikir dan bersedekah kerana ianya bertujuan untuk membentuk diri menjadi insan yang berjiwa hamba yang sentiasa mengabdikan diri kepadaNya. Sesungguhnya Allah Taala yang bersifat maha pemurah lagi maha penyayang telah mendatangkan Ramadhan untuk membersihkan hati dan jiwa manusia supaya kembali kepada fitrah kejadiannya.
Sebagai umat Islam kita digalakkan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan gembira namun janganlah kita melampaui batasan seperti boros berbelanja dan leka dengan hiburan sehingga kadang kalanya melalaikan kita. Sambutlah Aidilfitri dengan penuh wasatiyyah atau bersederhana serta berbelanja mengikut keperluan dan kemampuan.
Selain itu, bagi mengeratkan silaturrahim amalkan budaya kunjung-mengunjung dan saling bermaaf-maafan sesama kita. Mudah-mudahan dengan amalan bersilaturrahim ini akan wujudnya perasaan kasih sayang, saling bahu membahu dan mengambil berat di antara satu sama lain. Saya doakan agar semua amalan kita diterima olehNya sebagai amalan soleh dan menjadi saham baik di akhirat kelak.
Akhir kata bagi meneruskan kesan Ramadhan marilah kita meneruskan ibadah berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal selain meneruskan amalan mulia yang telah ditarbiyahkan semasa Ramadhan di dalam kehidupan harian. Sama-sama kita berdoa semoga kita dipanjangkan umur untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan datang.
Selamat pulang ke kampung halaman, berhati-hati ketika memandu dan rancanglah perjalanan dengan baik. Didoakan semoga warga IPPT selamat dalam perjalanan pulang ke kampung dan selamat kembali bertugas nanti. InsyaAllah.
Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin Ikhlas daripada Profesor Abd Aziz Tajuddin Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia 28 Ramadhan 1436 / 15 Julai 2015.
- Last updated on .
- Hits: 1025