Skip to main content

SEMINAR SAINTIFIK LATIH PELAJAR HADAPI VIVA

Seminar Saintifik

BERTAM, 5 Ogos 2015 - Bahagian Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan “AMDI Postgraduate Scientific Seminar” yang diadakan bertujuan untuk melatih pelajar dalam meningkatkan kemahiran penyampaian dengan baik sebagai persediaan menghadapi ujian viva.

Menurut Dr. Shahrul Bariyah Sahul Hamid, Timbalan Pengarah Akademik dan Hal Ehwal Pelajar IPPT, “program ini adalah salah satu daripada pelbagai program rutin yang dianjurkan oleh Bahagian Akademik dan Hal Ehwal Pelajar IPPT dalam usaha untuk melahirkan graduan yang cekap dan mahir, seterusnya akan menjadi penyelidik dan ahli akademik yang cemerlang pada masa hadapan.”

“Di akhir program ini, para pelajar yang terlibat diharap dapat meningkatkan tahap keyakinan, pengetahuan, pemahaman dan kemahiran yang perlu untuk penyampaian akademik yang baik.”

“Selain itu pelajar dapat mempelajari cara-cara memberi penerangan dan menjawab pelbagai soalan berkenaan penyelidikan dan penemuan mereka di hadapan panel pemeriksa,” tambahnya lagi.

Seminar dua hari ini melibatkan penyertaan 32 orang pelajar sarjana mod campuran yang membentangkan hasil penyelidikan mereka di hadapan panel yang terdiri daripada pensyarah IPPT.

Pembentangan dibahagikan kepada 4 sesi di mana setiap pelajar diberikan masa selama 10 minit untuk pembentangan dan 5 minit untuk sesi soal jawab. Rata-rata pelajar yang menyertai seminar ini menunjukkan kesungguhan dalam menyampaikan hasil penyelidikan mereka selama setahun.

  • Last updated on .
  • Hits: 738