Skip to main content

KLUSTER PERUBATAN INTEGRATIF KONGSI PENGETAHUAN DALAM PERUBATAN HERBA

Formulation Herbal

BERTAM, 11 Ogos 2015 - Masyarakat hari ini sangat mementingkan kesihatan dan kualiti kehidupan yang lebih baik. Penggunaan produk berasaskan herba dan nutraseutikal semakin mendapat sambutan di kalangan pengguna.

Menyedari hakikat ini, Kluster Perubatan Integratif, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif untuk mengadakan “Herbal Formulation For Cosmetic And Traditional Application Workshop” yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pengeluar produk yang berasaskan herba tentang keperluan asas dalam pembangunan sesuatu produk.

Ia merangkumi penstandardan dan jaminan kualiti, penilaian pra-klinikal dan kaedah-kaedah serta peraturan-peraturan bagi formulasi herba dan pengeluaran di Malaysia.

Menurut Pengerusi Program, Dr. Nor Aini Saidin berkata, “bengkel ini juga memberikan beberapa kemahiran asas kepada peserta dalam fomulasi herba untuk penggunaan kosmetik dan tradisional.”

“Bengkel ini khusus untuk mereka yang baru dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pengeluar herba tempatan, penyelidik atau orang ramai yang mempunyai minat untuk belajar dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran asas mengenai aspek fomulasi herba,” tambahnya lagi.

Antara isu-isu yang dibincangkan dalam bengkel sehari ini termasuklah perkembangan terkini penyelidikan semasa ke atas produk herba di USM, kepentingan proses standardisasi untuk memastikan kualiti produk herba, penilaian keselamatan serta kaedah-kaedah dan peraturannya di Malaysia.

Selain itu, bengkel ini menyediakan peluang yang menarik kepada para peserta untuk melihat sendiri bagaimana formulasi herba dalam penyediaan kosmetik seperti krim dan aplikasi tradisional seperti kapsul dan sirap herba dihasilkan.

Seramai 25 orang peserta yang rata-ratanya terdiri daripada penyelidik dalam bidang perubatan herba, pensyarah, pengeluar produk herba tempatan dan mereka yang terlibat dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang menghasilkan produk berasaskan herba hadir dalam bengkel ini.

Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Amir Zaidi Abu Hassan

  • Last updated on .
  • Hits: 1209