IPPT KONGSI RAHSIA KEJAYAAN PERLAKSANAAN 5S
BERTAM, 13 OGOS 2015 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan hormat Pusat Kesihatan Universiti Utara Malaysia (PKUUM) yang diketuai Pengarahnya, Dr. Wan Zarina Wan Mahmud serta 11 orang staf pelbagai jawatan.
Lawatan PKUUM ke IPPT adalah bertujuan untuk menambahkan pengetahuan dalam bidang 5S.
Menurut Wan Zarina “UUM telah melaksanakan 5S semenjak 2002 dan kedatangan mereka ke IPPT adalah untuk berkongsi ilmu dan mencari pengalaman di tempat baru untuk dikembangkan di PKUUM” ujar beliau ketika ditemubual.
Katanya lagi, pelaksanaan 5S di PKUUM adalah pada tahap pembudayaan yang bertujuan untuk memudahkan urusan kerja dan belum lagi sampai ke tahap persijilan.
Taklimat pelaksanaan 5S IPPT disampaikan oleh Ketua Seksyen Farmasi, Encik Md Hisham Abd Razak dan Taklimat Perkhidmatan Klinikal disampaikan oleh Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian & Piawaian, Dr. Muhamad Yusri Musa. Pelawat turut dibawa melawat sekitar Kompleks Klinikal untuk meninjau aktiviti 5S.
Terdahulu IPPT menerima lawatan daripada Pusat Sejahtera USM yang juga ingin mendapatkan pendedahan tentang 5S.
Lawatan daripada Pusat Sejahtera USM dan PKUUM adalah merupakan satu penghormatan kepada IPPT dan ternyata usaha gigih semua pihak di IPPT selama ini dalam melaksanakan 5S sehingga mendapat persijilan berbaloi kerana IPPT kini menjadi tempat rujukan bukan sahaja Pusat Tanggungjawab (PTJ) USM malahan institusi luar, ujar Hisham yang merupakan Ketua Aktiviti 5S dan KIK di IPPT.
Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid / Foto: Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 1293