Skip to main content

KEMAHIRAN PERAWATAN PENTING DALAM DIRI SETIAP PERAWAT

Cancer Care Workshop 2

BERTAM, 22 Ogos 2015 - Perawat di Malaysia perlu meningkatkan kemahiran dalam bidang perawatan bagi membolehkan setiap daripada mereka tidak ketinggalan dalam menyusuri arus kemodenan bidang perubatan masa kini.

Menurut Timbalan Pengarah Klinikal IPPT, Dr. Muhammad Yusri Musa, kemahiran perawatan dalam kalangan perawat amat penting bagi memastikan setiap pesakit yang dirawat mendapat perkhidmatan yang terbaik dan sempurna.

"Setiap daripada mereka perlu menitikberatkan ilmu yang diperolehi dalam bidang perawatan dan pembelajaran berterusan amat perlu bagi meningkatkan kemahiran terutamanya dalam bidang kritikal seperti kanser dan sebagainya,"kata Muhammad Yusri ketika merasmikan Bengkel "Nurses In Cancer Care Workshop" anjuran Seksyen Radiologi, Onkologi dan Perubatan Nuklear bersama Bahagian Klinikal, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Tambahnya lagi, dengan perkembangan teknologi perubatan masa kini, perawat perlu mempunyai kemahiran yang tinggi seiring dengan kemajuan dan penggunaan peralatan moden yang ada tidak kira mereka seorang Jururawat, Ahli Farmasi, Pegawai Perubatan bahkan Pembantu Perawatan Kesihatan sekalipun.

Bengkel dua hari ini dihadiri oleh 50 orang peserta yang terdiri daripada pengamal perubatan yang menjurus kepada bidang perawatan kanser.

Antara objektif penganjuran bengkel ini adalah sebagai platform untuk berbincang dan berkongsi pengetahuan, kepakaran dalam kepelbagaian peranan jururawat dalam perawatan kanser selain mempelajari dan menerokai kaedah terkini rawatan serta sebagai  pendedahan dan pemahaman tentang isu yang berkaitan dengan rawatan kanser yang perlu dilalui oleh para perawat termasuk  penjaga.

Melalui bengkel ini, perbincangan dalam mewujudkan keseragaman dalam prosedur standard rawatan dan penjagaan bagi pesakit kanser di Malaysia juga dapat dilakukan.

Yang turut hadir  ialah Pakar Radiologi IPPT, Dr. Muhamad Zabidi Ahmad selaku penceramah jemputan bengkel tersebut.

Teks: Faisal Jamaludin Foto : Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 1383