AIDILFITRI DISAMBUT MERIAH DALAM KESEDERHANAAN
BERTAM, 29 Julai 2015 - Konsep kesederhanaan dalam penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri peringkat Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia tahun ini ternyata dapat memupuk budaya berhemah dalam perlaksanaannya. Walaubagaimanapun, kemeriahan dalam majlis yang diadakan jelas terserlah dengan kehadiran hampir 500 orang warga kerja IPPT termasuk tetamu jemputan.
Majlis yang diadakan di perkarangan kafeteria Kompleks Klinikal ini bertujuan untuk meraikan sambutan Aidilfitri dan seterusnya mengeratkan silaturrahim antara warga kerja IPPT. Ini adalah merupakan acara yang di adakan setiap tahun untuk melahirkan rasa syukur serta berkongsi kegembiraan.
Prof. Abd. Aziz Tajuddin, Pengarah IPPT meluangkan masa untuk menyambut kehadiran tetamu jemputan yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan dan institusi pendidikan sekitar IPPT. Dengan kehadiran tetamu-tetamu jemputan ini sekurang-kurangnya dapat mengeratkan lagi hubungan dan jalinan kerjasama yang sedia terjalin.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Profesor Dato’ Dr. Muhammad Idiris Saleh, Pengarah Pusat Islam USM, Dr. Normala Abdul Wahid, Pengarah Pusat Sejahtera serta Timbalan-timbalan Pengarah IPPT.
Dalam majlis ini juga, IPPT menghargai dua orang Ahli Panel Penasihat Industri dan Komuniti (ICAP) Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) iaitu Dr. Edward Nathan yang merupakan doktor Kesihatan Awam dari Penang Adventist Hospital dan Tuan Haji Shuib Mohd Isa, Pengurus Besar Penawar Industries Sdn. Bhd. yang telah memberikan sumbangan kepakaran dalam bidang industri dan komuniti.
Teks : Faisal Jamaludin / Foto: Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 1653