Skip to main content

BOLING PADANG WANITA IPPT UNGGUL DI SUKJAP

SUKJAP Boling Padang

KEPALA BATAS, 16 Mei 2015 - Pasukan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM menerusi beregu wanitanya telah menjuarai acara boling padang dalam Kejohanan Boling Padang Lelaki dan Wanita Sukan Antara Jabatan (SUKJAP) Tertutup USM 2015 yang diadakan di Gelanggang Boling Padang, Kompleks Sukan MPSP di sini.

Pasukan beregu wanita yang diwakili oleh Noorsyuhada Abdul Rahim dan Norliza Abu Seman berjaya menjinakkan regu pelajar, 7-6 bagi menggondol gelaran juara menerusi acara tersebut.

Menurut Pengurus Pasukan Boling Padang IPPT, Encik Suhaimi Mat, kejayaan ini membuktikan bahawa IPPT tidak ketandusan pemain boling padang yang berkualiti walaupun sukan ini kurang diminati berbanding sukan-sukan yang lain.

“Saya percaya, bakat pemain-pemain ini masih boleh digilap bagi meneruskan kejayaan pada masa akan datang.”

“Alhamdullillah, pemain kita berjaya menjadi Johan dalam acara ini dan saya harap kemenangan ini akan menyemarakkan lagi semangat pemain untuk memburu kejayaan pada kejohanan akan datang,” tambahnya lagi.

Sementara itu, beregu lelaki yang diwakili oleh Mohd Zairil Faizal Mohd. Zain dan Mohd Salleh Abdul Rahman berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir namun tewas di tangan regu dari Pusat Teknologi Pengajaran & Multimedia (PTPM).

Wakil Jawatankuasa Penganjur Boling Padang SUKJAP, Jusrina Muhammad berkata, “kejohanan ini adalah untuk mempromosikan persaingan yang sihat di antara jabatan di USM dan salah suatu cara yang baik untuk memupuk kerjasama dan persahabatan antara pelajar dan staf.”

“Saya berharap agar sukan boling padang akan terus mendapat tempat di hati warga USM dan dapat menggilap bakat-bakat baru untuk memperolehi kejayaan akan datang,” tambahnya lagi.

Hadiah dan piala pusingan telah disampaikan oleh Mohd Shafei Mohd Ariffin, Yang Di-Pertua Kelab Sukan Staf USM kepada pemenang.

 

Teks : Faisal Jamaludin / Foto : Jusrina Muhammad

  • Last updated on .
  • Hits: 2971