AMDI T.O.W TEAM PERTAHANKAN KEJUARAAN
PULAU PINANG, 10 Mei 2015 - AMDI T.O.W Team, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM mempertahankan kejuaraan acara tarik tali dalam Temasya Olahraga Tahunan (TOT) ke-41, Universiti Sains Malaysia yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Stadium Olahraga Universiti Sains Malaysia.
Menurut kapten pasukan AMDI T.O.W Team, Mohamad Firdaus Harun, mereka menerima saingan yang hebat daripada pasukan-pasukan yang bertanding.
"Tahniah kepada semua pasukan tarik tali dari kontingen yang bertanding kerana memberikan komitmen yang terbaik dalam mewujudkan persaingan yang sihat menerusi acara ini."
"Walaupun ini kejuaraan kedua tahun berturut-turut buat pasukan kami, ini tidak bermakna kami cukup selesa dengan pencapaian ini. Kami yakin pasukan dari kontingen-kontingen lain akan meningkatkan keupayaan mereka dan mampu memberikan persaingan yang lebih hebat pada tahun hadapan", tambahnya lagi.
AMDI T.O.W Team menewaskan pasukan Desasiswa Indah Kembara pada pusingan akhir acara tersebut dengan kemenangan mudah 2-0. Tempat ketiga acara ini dimenangi oleh kontingen dari Desasiswa Murni setelah berhempas pulas menewaskan pasukan Desasiswa Jaya. Pada kejohanan tahun lalu, AMDI T.O.W Team menewaskan pasukan Staf Kesihatan juga dengan kemenangan mudah 2-0.
Acara tarik tali ini adalah merupakan salah satu acara yang dipertandingkan dalam Temasya Olahraga Tahunan (TOT) setiap tahun dan menjadi perhatian penonton yang hadir.
Pingat kejuaraan acara ini disampaikan oleh Prof. Dato' Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, USM.
Walaupun ini adalah merupakan satu-satunya Pingat Emas daripada dua pingat yang diperolehi oleh kontinjen IPPT, namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk terus bersama-sama dalam memeriahkan TOT kali ini.
Pingat pertama kontingen IPPT (Gangsa) diperolehi oleh Encik Suhaimi Mat menerusi acara 3000 meter Jalan Kaki Lelaki Veteren pada saingan awal pagi semalam.
TOT ke-41 USM menutup tirai dengan menyaksikan Kontingen Desasiswa Jaya dinobatkan sebagai juara kategori lelaki manakala Desasiswa Cahaya Gemilang bagi kategori wanita keseluruhan daripada 17 kontingen yang bertanding.
Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Mohamad Firdaus Harun
- Last updated on .
- Hits: 2911