PAKAR TRANSFUSI MENGHURAIKAN KEPENTINGAN SEL DARAH MERAH
BERTAM, 10 April 2015 - Pakar dalam bidang hematologi, genetik dan perubatan transfusi di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Narazah Mohd Yusoff telah mengupas kepentingan sel darah merah yang terdapat dalam setiap tubuh manusia.
Menerusi syarahannya, beliau memberi penumpuan kepada kepentingan sel darah merah yang disifatkan sebagai sangat penting dalam bidang perubatan.
“Sel darah merah (SDM) merupakan jenis darah yang paling banyak dalam manusia dan berfungsi membawa oksigen ke seluruh badan. SDM kaya dengan rantaian zat besi-hemoglobin dan ia membentuk satu pertiga daripada isipadu sel darah.”
“Antara penyakit-penyakit sel darah merah adalah kekurangan enzim Glukos 6-Fosfat Dehidrogenase (G6PD), Ovalositosis Asia Tenggara (SAO) dan demam denggi,” tambahnya lagi.
Beliau menyampaikan syarahannya di hadapan 250 orang tetamu jemputan dalam Majlis Syarahan Umum Perlantikan Profesor yang diadakan di Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bertam.
Profesor Dr. Narazah Mohd Yusoff telah menerajui pasukan merancang dan membangunkan Pusat Penyelidikan Klinikal di IPPT. Hasilnya, IPPT menjadi pusat khidmat kepakaran klinikal dan pusat rujukan analisis kromosom di utara semenanjung.
Dalam tempoh ini, beliau telah dianugerahkan Profesor Pelawat dari Newcastle University, UK dan dilantik sebagai Perunding Penyelidikan oleh Xinxiang Medical University, China.
Beliau telah berjaya melahirkan ramai pakar perubatan dalam bidang hematologi, genetik dan perubatan transfusi. Beliau telah menyelia lebih dari 50 orang pelajar mod penyelidikan di peringkat sarjana dan doktor falsafah. Fokus utama beliau dalam bidang penyelidikan merangkumi bidang hematologi, genetik dan transfusi. Hasil penyelidikan beliau telah memenangi pelbagai anugerah dan pengiktirafan. Profesor Dr. Narazah turut melakar sejarah negara apabila pernah menjadi pelajar pertama yang lulus Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Sains Genetik di Universiti Kobe iaitu institusi pengajian tinggi paling termaju dalam bidang berkenaan di Jepun.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan dan Pengarah IPPT, Profesor Abd Aziz Tajuddin.
Teks : Faisal Jamaludin / Foto: Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 2461