Skip to main content

KLINIK URUTAN PERUBATAN PERKHIDMATAN TERBARU DI IPPT

 MG 8479

BERTAM, Februari 2015 – Perubatan Integratif merupakan satu bidang perubatan yang menggabungkan kaedah perubatan tradisional dan perubatan moden untuk merawat pesakit. Lazimnya perubatan tradisional menggunakan produk alami termasuk tumbuhan herba sebagai bahan utama untuk dijadikan penawar. Selain itu, teknik urutan yang diwarisi secara turun-temurun juga merupakan salah satu kaedah rawatan yang digunapakai dalam perubatan tradisional.

Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Klinik Perubatan Integratif telah mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan Klinik Urutan Perubatan yang bertujuan untuk digabungjalinkan dengan kaedah rawatan moden dalam usaha untuk merawat pesakit yang mengalami kesakitan muskuloskeletal yang kronik.

Menurut Penyelaras Klinik Perubatan Integratif, Dr. Wan Adnan Wan Omar, “urutan perubatan bagi tujuan rawatan muskuloskeletal melibatkan urutan di sekitar bahagian otot atau sendi yang sakit mengikut teknik-teknik urutan tradisional Melayu bagi mengurangkan kesakitan, diamalkan oleh pengamal urutan yang bertauliah”. Tambah beliau lagi, selain urutan, perkhidmatan lain yang turut ditawarkan ialah konsultasi bersama pegawai perubatan bertauliah, ubatan dan rawatan rehabilitasi (jika perlu), pemeriksaan kesihatan dan khidmat nasihat berkenaan Perubatan Integratif.

Integratif

Setakat ini Klinik Urutan Perubatan mempunyai 4 orang (2 lelaki dan 2 perempuan) pengamal urutan yang bertauliah. Mereka telah mengikuti kursus urutan yang dikendalikan oleh tenaga pengajar yang berpengalaman dari salah sebuah akademi urutan tradisional Melayu yang berdaftar dengan Gabungan Pertubuhan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia (GAPERA). Selain mengikuti kuliah, mereka juga dikehendaki mengisi buku log latihan praktikal dengan melakukan sesi amali mengurut serta menduduki peperiksaan sebagai syarat utama pentauliahan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang perkhidmatan yang ditawarkan boleh hubungi staf bertugas Klinik Urutan Perubatan bertempat di Klinik Perubatan Integratif di talian 04-562 2070/2359. Caj untuk staf USM dan tanggungan ialah RM 30.00 – pakej wajib 3 sesi urutan pertama, RM 10.00 – urutan susulan (setiap sesi). Manakala untuk orang awam caj perkhidmatannya merangkumi konsultasi RM 5.00, RM 75.00 – pakej 3 kali urutan, RM 25.00 – urutan susulan (setiap sesi) dan sila bawa bersama surat rujukan untuk mendapatkan temu janji.

 

Oleh : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid       Foto : Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 4401