Skip to main content

PERKHIDMATAN PERGIGIAN IPPT MAJU SETAPAK LAGI

 MG 9840

BERTAM, 6 Februari 2015 - Perkhidmatan Pergigian yang ditawarkan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia dijangka akan menerima pertambahan pesakit yang memerlukan rawatan pergigian dan kraniofasial. Ini adalah berikutan pembukaan bangunan baru Klinik Pakar Pergigian yang terletak di dalam Kampus USM Bertam.

Bangunan baru ini berfungsi sebagai sebuah Klinik Pakar Pergigian yang dahulunya ditempatkan di Kompleks Klinikal. Rawatan kepakaran yang dijalankan di sini adalah meliputi rawatan Ortodontik dan Paedodontik. Manakala di Kompleks Klinikal, masih menjalankan rawatan Prostodontik bagi memenuhi permintaan daripada orang awam.

Klinik Pakar Pergigian ini menempatkan dua bilik rawatan dan salah satunya ialah sebuah bilik yang digunakan untuk melaksanakan pembedahan kecil oral. Pembedahan dengan pancaran laser ini menggunakan peralatan “Dental Laser Unit” yang baru diterima.

Untitled-1

Terdapat juga kemudahan-kemudahan lain seperti bilik imejan, bilik sterilisasi, bilik perbincangan dan ruang menunggu yang selesa.

Bagi memenuhi keperluan IPPT sebagai sebuah institusi yang turut memberi tumpuan dalam bidang akademik, sebuah bilik untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar pasca siswazah juga turut disediakan di sini. Bilik ini menempatkan 5 buah “dental chair” dengan suasana pembelajaran yang kondusif dan moden.

Sehingga hari ini, IPPT mempunyai 6 orang pakar pergigian dalam bidang Ortodontik dan Kesihatan Awam masing-masing 2 orang, Prostodontik dan Paedodontik masing-masing seorang. Pakar-pakar ini juga disokong oleh empat orang Pegawai Pergigian, 2 Jururawat Pergigian dan 7 Pembantu Pembedahan Pergigian bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kepada pesakit setiap hari bekerja.

Bangunan Klinik Pakar Pergigian ini sebelumnya adalah sebuah pejabat kejuruteraan yang telah diubahsuai dan dijadikan klinik.

Encik Saiful Bahari, Ketua Jurutera Kanan IPPT berkata, “sebelum ini bangunan ini dijadikan pejabat Seksyen Kejuruteraan untuk memantau projek-projek pembangunan dan penyelenggaraan bangunan Kompleks Klinikal dan Kompleks Penyelidikan Haiwan.”

“Apabila bangunan Kompleks Klinikal dan Kompleks Penyelidikan Haiwan telah diserahkan sepenuhnya daripada kontraktor kepada USM, Seksyen Kejuruteraan telah berpindah ke bangunan yang baru dibina khusus untuk menempatkan pejabat tersebut dan bangunan ini diserahkan kepada Perkhidmatan Pergigian untuk dijadikan Klinik Pakar,” tambahnya lagi.

Site

Pejabat Seksyen Kejuruteraan yang baru terletak di belakang Kompleks Penyelidikan Haiwan dan mempunyai kemudahan seperti ruang pejabat, gudang penyimpanan barang dan ruang Nurseri Landskap. Parkir kenderaan IPPT juga akan ditempatkan di sini dan dijangka proses perpindahan dari parkir asal akan selesai pertengahan tahun ini. 

 

Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 4358