Skip to main content

WARGA IPPT LAKSANA MISI BANTUAN KEMANUSIAAN BANJIR

Banjir 2

PULAU PINANG, 3 Januari 2015 - Bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang telah mengakibatkan kesan fizikal dari segi kemusnahan dan kehilangan harta benda. Banjir kali ini dikatakan lebih besar dari kejadian pada tahun 1967.

Menyedari hakikat ini, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM telah mengambil inisiatif dalam Misi Bantuan Banjir dalam memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat di beberapa negeri baru-baru ini.

Pasukan Perubatan IPPT yang terdiri daripada Jururawat, Juru X-Ray dan Pegawai Perubatan telah digerakkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia bagi membantu tugas-tugas di sana. Pasukan yang diketuai oleh Dr. Muhammad Yusri Musa, Timbalan Pengarah Perkhidmatan Klinikal IPPT ini telah dibahagikan kepada beberapa fasa.

Menurut beliau, bantuan bagi menyokong operasi perubatan di HUSM amat diperlukan. “Sehingga hari ini IPPT telah mengantar dua pasukan ke sana secara giliran.”

“Kita akan terus menghantar khidmat perubatan sokongan bagi membantu staf di HUSM sehingga keadaan di sana beransur pulih,” tambahnya lagi.

Banjir 1

Dalam pada itu, Unit Perhubungan Awam IPPT telah melancarkan tabung bencana banjir pantai timur dengan tujuan untuk mengutip sumbangan warga IPPT yang prihatin terhadap mangsa banjir di sana. Barangan seperti makanan, pakaian dan kewangan telah berjaya dikumpulkan dan diserahkan kepada pasukan sukarela Misi Bantuan Kemanusiaan Banjir USM.

Banjir 3

Menerusi Misi Bantuan Siri Pertama ini, seramai 9 orang staf dari IPPT yang mengikuti Team Sukarelawan Universiti Sains Malaysia telah terlibat sebagai sebuah pasukan. Mereka telah ditugaskan untuk membantu mengagihkan bantuan makanan serta membersihkan rumah-rumah staf HUSM yang terkesan dengan banjir di sekitar Kota Bharu, Kubang Kerian, Pasir Mas, Tanah Merah dan beberapa kawasan lain.

Selain itu, Unit Hal Ehwal Islam IPPT dengan kerjasama Pusat Islam USM turut melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ini di Kampung Sayong, Kuala Kangsar Perak. Seramai 20 orang staf terlibat dalam operasi pembersihan rumah penduduk kampung yang terlibat dengan banjir.

 

Teks: Faisal Jamaludin    Foto: Sukarelawan Misi Kemanusiaan Banjir

  • Last updated on .
  • Hits: 2282