Skip to main content

SUKSIS USM JALIN PERPADUAN BERSAMA MASYARAKAT

SUKSIS

KEPALA BATAS, 11 Disember 2014 – Berbekalkan tema “Mahasiswa Holistik Masyarakat Dinamik” Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil inisiatif mengadakan program khidmat masyarakat atau pun dikenali sebagai University Community Engagement (UCE) kepada penduduk Kampung Pokok Jenerih, Kepala Batas. Program yang bermula sejak dari 12 Oktober 2014 telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, Ahli Parlimen Kepala Batas yang berterusan hingga bulan Disember ini telah diakhiri dengan Majlis Perasmian Penutupan Program UCE yang disempurnakan oleh YB Dato’ Roslan Saidin, ADUN Pinang Tunggal.

Dalam ucapannya YB Dato’ Roslan amat berbesar hati dengan kehadiran mahasiswa dan mahasiswi yang sudi membantu penduduk kampung dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti yang pada hemat beliau amat bermanfaat dan dapat menambah pengetahuan para penduduk di sini. Aktiviti seperti gotong-royong, ceramah kerjaya, kelas komputer, kelas Bahasa Inggeris dan lain-lain adalah amat dialu-alukan bagi memupuk kesedaran penduduk kampung supaya menjadi masyarakat yang bermaklumat. Ujar beliau yang sudah tiga penggal menjadi wakil rakyat bagi penduduk kampung berkenaan.

Tambah Y.B Dato’ Roslan, adalah menjadi harapan beliau agar program seumpama ini tidak berhenti di sini dan akan diadakan lagi pada masa akan datang. Beliau juga berpesan kepada mahasiswa dan mahasiswi yang mempunyai keluarga angkat di kampung ini agar rajin bertanya khabar berita dan jika ada kesempatan datanglah menziarahi mereka di sini.

Menurut Mohd Fadhli Ahmad, Pengarah Projek UCE berkata “bagi membantu meningkatkan penguasaan penduduk kampung dalam bidang ICT beberapa buah komputer telah disumbangkan oleh pihak USM”. Adalah diharapkan dengan sumbangan komputer ini akan menyuntik semangat anak-anak kampung khususnya adik-adik yang masih di bangku sekolah untuk mendalami bidang ICT dan belajar dengan bersungguh-sungguh. Semoga suatu hari nanti adik-adik semua akan menjejakkan kaki ke menara gading untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Ujar beliau yang merupakan mahasiswa Tahun 3 IImu Pendidikan.

Bagi memeriahkan lagi program pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan kanak-kanak, remaja, belia dan ibu bapa telah diadakan. Antaranya ialah pertandingan bercerita, sukaneka, mewarna, boling buah kelapa, gubahan bunga, gubahan tuala, kerusi berirama, pertandingan membuat kerabu. Selain itu, turut diadakan aktiviti pameran oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Seberang Perai Utara serta pemeriksaan kesihatan dan pergigian oleh Pusat Sejahtera USM.

Turut hadir sama dalam majlis ini ialah Profesor Madya Dr. Ahmad Tajuddin Othman Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM merangkap Penaung Program UCE, Dr. Nazarudin Zainun Pengarah Sektor Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) USM, Dr. Mohd Adi Firdaus Tan Abdullah Pengerusi Rancangan Kor Suksis USM, Asisten Superitendan Polis Abdul Ghani Mohammad Ali Pegawai Penyelaras Kor Suksis USM, Inspektor Ganesh A/L Murugayiah Pegawai Latihan Kor Suksis USM dan Tuan Haji Abdul Hamid Haji Ismail Ketua Kampung Pokok Jenerih.

University Community Engagement (UCE) adalah sebuah kluster yang ditubuhkan oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) bermatlamat untuk merapatkan hubungan universiti dengan masyarakat melalui program kebajikan, kesihatan, khidmat masyarakat, kesukarelaan dan pendidikan. Matlamat penubuhannya adalah sejajar dengan visi dan misi USM yang komited dalam usaha untuk mengupayakan golongan terkebawah demi mentransformasi kesejahteraan sosioekonomi mereka.



 Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid / Foto : Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 2246