Skip to main content

PELAJAR KOLEJ MATRIKULASI PERAK LAWAT PERPUSTAKAAN IPPT

Matrikulasi Perak

BERTAM, 6 Dis. 2014 – Perpustakaan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) atau nama lainnya Pusat Ilmu Translasional dan Maklumat (PITM) telah menerima kunjungan para pelajar yang terdiri daripada ahli Kelab Rakan Perpustakaan, Kolej Matrikulasi Perak.

Kehadiran seramai 30 orang pelajar serta 8 orang pegawai pengiring telah disambut oleh Encik Ahmad Faris Hassan, Penolong Pustakawan Kanan IPPT serta staf-staf yang bertugas.

Menurut Encik Ahmad Rouzairi Tajuddin, Penolong Pegawai Perpustakaan yang juga ketua rombongan berkenaan, lawatan ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh perpustakaan universiti.

“IPPT menjadi pilihan untuk dilawati kerana terdapat banyak buku sains perubatan dan teknologi  yang akan menjadi rujukan kepada pelajar yang bakal mengambil jurusan sains di universiti nanti,” ujar beliau ketika ditemui.

Dalam sesi lawatan berkenaan, Encik Ahmad Faris Hassan turut menyampaikan taklimat berkenaan Pusat Ilmu Translasional dan Maklumat IPPT ini dengan memperkenalkan aplikasi-aplikasi khusus yang digunakan dalam pengurusan perpustakaan di sini.

Rata-rata pelajar yang ditemui amat gembira kerana banyak maklumat yang mereka perolehi dan ianya merupakan pendedahan awal kepada mereka sebelum melangkah kaki ke menara gading.

Para pelajar turut dibawa melawat ke ruang Perpustakaan IPPT untuk mereka melihat dengan lebih dekat kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan. Aktiviti lawatan ini adalah merupakan sebahagian daripada  program yang telah dirancang oleh Kelab Rakan Perpustakaan, Kolej Matrikulasi Perak yang bermatlamat untuk menanam minat membaca dalam kalangan pelajar.

Kolej Matrikulasi Perak yang terletak di daerah Gopeng ini adalah merupakan Kolej Matrikulasi yang ke-6 ditubuhkan di Malaysia dan mula beroperasi pada tahun 2002. Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan merupakan program persediaan pelajar bagi melayakkan diri untuk ke universiti awam dan swasta. Tempoh pengajian bagi program pra-universiti ini mengambil masa dua semester (1 tahun).

 

Teks/Foto : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid

  • Last updated on .
  • Hits: 3154