TZU CHI UNIVERSITY HASRAT JALIN KERJASAMA DUA HALA DENGAN IPPT
BERTAM, 26 November 2014 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia telah menerima kunjungan hormat delegasi daripada Tzu Chi University, Taiwan.
Antara perkara yang dibincangkan ialah meneroka peluang mengadakan kerjasama dua hala antara kedua-dua universiti dalam bidang akademik dan penyelidikan. Selain itu, turut dibincangkan perkongsian maklumat dan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu serta program pertukaran pelajar secara jangka pendek atau jangka panjang.
Delegasi Tzu Chi University diketuai oleh Profesor Dr. Ingrid Y Liu Pengarah Hal Ehwal Akademik, Profesor Madya Dr. Je-Wen Liou Pensyarah Jabatan Biokimia dan Profesor Madya Dr. Woon Peng Yeong Pensyarah Jabatan Biologi Molekul dan Genetik mengadakan perjumpaan selama hampir setengah jam dengan Profesor Dr. Narazah Mohd Yusoff Timbalan Pengarah (Penyelidikan, Penerbitan dan Inovasi).
Turut hadir dari IPPT dalam pertemuan itu ialah Dr. Shahrul Bariyah Sahul Hamid, Timbalan Pengarah (Akademik & Hal Ehwal Pelajar), Profesor Madya Dr. Thang Thean Hock Pensyarah Kluster Infektomik serta beberapa orang pensyarah lain.
Mereka juga turut dibawa melawat sekitar Kompleks Penyelidikan Haiwan bagi melihat aktiviti penyelidikan yang dijalankan di sini.
Tzu Chi University baru sahaja menyambut ulang tahun penuhuhannya yang ke-20 menawarkan pelbagai bidang pengajian seperti Perubatan Moden, Perubatan Tradisional Cina, Sains Kesihatan, Kejururawatan, Komunikasi (Pengajian Media), Pendidikan, Kesusasteraan dan banyak lagi.
Kunjungan tersebut diakhiri dengan sesi pertukaran cenderahati dan sesi bergambar oleh kedua-dua pihak.
Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid / Foto : Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 1877