Skip to main content

IPPT TUAN RUMAH SEMINAR SUKAN

Seminar Sukan

BERTAM, 20 November 2014 – IPPT telah dipilih sebagai tuan rumah untuk penganjuran Seminar Sukan “Strength and Conditioning For High Perfomance Athletes” yang dianjurkan oleh Pusat Sukan dan Rekreasi USM dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Seminar ini telah dihadiri oleh 30 orang peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai sukan dan atlet dari IPTA di seluruh negara. Seminar yang berlangsung selama dua hari ini telah diisi dengan penyampaian sesi ceramah di Kompleks Tabung Haji, Bayan Lepas dan diakhiri dengan sesi praktikal kecergasan di Bertam.

Menurut Encik Idrus Hj. Rapie, “seminar ini adalah bertujuan untuk memberi maklumat kepada peserta tentang sistem pemulihan (reconditioning system), mengenal pasti punca-punca kecederaan dan memberi tumpuan kepada program baik pulih melalui terapi dan teknik latihan”. Ujarnya yang juga Timbalan Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM.

Pada majlis perasmian penutupan seminar, Dr. Shahrul Bariyah Sahul Hamid, Timbalan Pengarah Akademik dan Hal Ehwal Pelajar yang mewakili Pengarah IPPT telah diberikan penghormatan untuk merasmikan penutupan seminar serta turut menyampaikan sijil penyertaan kepada semua peserta.

Dalam ucapannya beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana telah memilih IPPT sebagai tuan rumah dan adalah diharapkan kerjasama seumpama ini akan berterusan pada masa akan datang demi untuk memartabatkan pembangunan sukan di USM khususnya dan di Malaysia amnya. Ujar beliau lagi “pemilihan USM sebagai Pusat Tumpuan Sukan Renang dan Pusat Tumpuan Sukan Hoki oleh Kementerian Pendidikan Malaysia diharap akan menambah kekuatan dan akan mendapat pelbagai pengiktirafan”.

Sesi praktikal kecergasan telah diadakan di Makmal Kecergasan IPPT dan dikendalikan oleh Dr. Ahmad Munir Che Muhamed, Pensyarah Sains Sukan Kluster Sains Gaya Hidup dengan dibantu oleh 8 orang pemudahcara yang terdiri daripada staf IPPT.

 

Teks: Muhammad Sallehudin Abdul Hamid     Foto: Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 1647