Skip to main content

IPPT DIBERI PENGHORMATAN ANJUR HARI WARGA STAF 2015

Watikah HWS

NIBONG TEBAL, 16 November 2014 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM telah diberi penghormatan oleh universiti untuk menganjurkan Hari Warga Staf 2015. Pengumuman tersebut disampaikan sendiri oleh Profesor Dato’ Omar Osman, Naib Canselor USM pada Majlis Makan Malam, Hari Warga Staf 2014 yang diadakan di Dewan Utama Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia di sini.

Encik Md. Hisham Abd. Razak, Pengurus Kanan Farmasi dan Kelestarian mewakili Pengarah IPPT telah menerima piala tuan rumah temasya dan bendera Hari Warga Staf Universiti Sains Malaysia sebagai simbolik penyerahan watikah daripada Naib Canselor.

Menurut Hisham ketika ditemui selepas penerimaan watikah berkenaan, pihak pengurusan tertinggi USM yakin dan mempercayai IPPT sebagai sebuah PTJ yang mampu melakukannya.

“Ianya adalah satu pengiktirafan dan tanggungjawab kepada seluruh warga staf IPPT untuk melaksanakan tugas ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

“Harapan saya, seluruh warga IPPT akan berko-operasi melaksanakan amanah yang diberikan ini untuk mencapai objektif pelaksanaan Hari Warga Staf,” tambahnya lagi.

Ini adalah julung kalinya IPPT diberi penghormatan untuk menganjurkan Hari Warga Staf di mana sebelum ini ianya diadakan di USM Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, USM Kampus Induk dan di USM Kampus Kejuruteraan.

Hari Warga Staf dilihat sebagai medan terbaik untuk menjalinkan hubungan dalam kalangan staf Universiti Sains Malaysia serta memupuk semangat kerja berpasukan, bekerjasama dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

 

Teks / Foto : Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 2751