HARI WARGA STAF USM 2014 DISAMBUT MERIAH
NIBONG TEBAL, 16 November 2014 - Hari Warga Staf Universiti Sains Malaysia telah melabuhkan tirainya semalam dengan kemenangan keseluruhan digondol oleh Kontinjen Pipit Hutan dari Kampus Kejuruteraan.
Sementara itu, tempat kedua disandang oleh Kontinjen Pekaka Udang dari Kampus Kesihatan manakala ditempat ketiga oleh Kontinjen Tampung Bajau dari Kampus Induk.
Walaubagaimanapun, Kontinjen Pucung Harimau dari IPPT mendapat tempat ke-5 keseluruhan iaitu pencapaian yang sama dengan tahun lepas.
Kemenangan itu membolehkan Kontinjen Pipit Hutan membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM1,000 dan tempat kedua RM750.00 manakala tempat ketiga RM500.00.
Pada penganjuran kali ini, USM Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal telah dilantik sebagai penganjur dan tuan rumah temasya dengan 8 acara dipertandingkan. Antaranya ialah Larian Kampus, Sukaneka, Memancing, Explorace, Le Tour De Kampus, Persembahan Kebudayaan, Masterchef dan Khemah Terbaik.
Majlis perasmian Hari Warga Staf ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Profesor Dr. Adnan Hussain yang diadakan di Kompleks Sukan USM, Kampus Kejuruteraan.
Program sehari ini telah menghimpunkan lebih 500 staf USM dari kesemua kampus untuk sama-sama memeriahkan temasya kali ini.
Acara tahunan ini melibatkan 7 buah kontinjen dari ketiga-tiga kampus Universiti Sains Malaysia termasuk IPPT. Tujuan utama penganjuran ini adalah untuk memupuk semangat berpasukan, kerjasama, keakraban dan pengukuhan ukhuwah silaturrahim antara sesama warga staf USM dengan sama-sama menghayati tema "Saya Sayang USM".
Sementara itu pada Majlis Makan Malam dan juga Malam Kebudayaan temasya berkenaan, Profesor Dato’ Omar Osman, Naib Canselor USM telah mengumumkan bahawa Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) akan mengambil alih tanggungjawab selaku tuan rumah Hari Warga Staf bagi tahun 2015. Encik Md. Hisham Abdul Razak, Pengurus Kanan Farmasi dan Kelestarian IPPT mewakili Pengarah IPPT telah menerima piala tuan rumah dan bendera Hari Warga Staf Universiti Sains Malaysia sebagai simbolik penyerahan watikah daripada Naib Canselor.
Turut hadir pada malam berkenaan ialah Profesor Dato’ Dr. Muhammad Jantan, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Adnan Hussain, Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed, Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Puan Siti Zubaidah A. Hamid, Pendaftar, serta pegawai-pegawai universiti.
Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 3101