MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1436 PERINGKAT USM
PULAU PINANG, 13 November 2014 - Majlis Sambutan Maal Hijrah 1436 peringkat Universiti Sains Malaysia telah diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra dengan tema “Insaniah Memacu Transformasi Universiti.”
Naib Canselor, Profesor Dato’ Omar Osman berkenan merasmikan sambutan itu sebelum menyampaikan anugerah kepada penerima-penerima dan Tokoh Maal Hijrah tahun ini.
Pada sambutan kali ini, Dr. Shaik Abdullah Bin Hassan Mydin telah diumumkan sebagai Tokoh Dakwah Maal Hijrah peringkat USM bagi tahun 1436 Hijrah/2014. Pemilihan Dr. Shaik Abdullah dibuat berdasarkan kriteria tokoh yang berpengetahuan luas dan banyak memberi sumbangan kepada syiar Islam di Malaysia.
Beliau merupakan seorang pensyarah dalam bidang Tamdun Islam di Pusat Pengajian Jarak Jauh, USM dan Pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Tamadun Islam dari USM. Anak kelahiran Pulau Pinang ini juga merupakan seorang pendakwah yang bergiat aktif di wilayah utara ini.
Seramai 17 orang staf USM turut menerima anugerah Maal Hijrah bagi dua kategori iaitu Anugerah Kecemerlangan Maal Hijrah seramai 8 orang dan Anugerah Khas Pusat Islam USM seramai 9 orang.
Warga IPPT juga turut berbangga apabila dua daripada penerima Anugerah Khas Pusat Islam telah dianugerahkan kepada Saudara Ahmad Nizar Abd Hamid dari Seksyen IT dan Puan Che Zaiton Dahalan dari Unit Kejururawatan IPPT. Mereka membawa pulang seutas jam tangan, wang tunai dan sijil penghargaan.
Hampir 500 orang hadir ke majlis sambutan Maal Hijrah kali ini dengan pengisian Ceramah Perdana oleh Ustaz Harryanto Rizal Rokman. Sebelum itu, majlis diserikan dengan bacaan al-Quran oleh Ustaz Ahmad Tarmizi Ali, Juara Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa kali ke 56 dan persembahan nasyid oleh saudara Hafiz Hamidun.
Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Amir Zaidi Abu Hassan
- Last updated on .
- Hits: 2312