PELAJAR IPPT TERIMA BIASISWA YDPA
KUALA LUMPUR, 5 November 2014 - Pelajar jurusan Doktor Falsafah Bioperubatan (Molekular dan Biologi Sel) Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mendapat biasiswa tajaan daripada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sesi 2014/2015.
Pelajar berkenaan, Ng Wai Hoe menerima biasiswa tersebut dalam majlis khas yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Y.A.B. Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin bagi pihak Yang di-Pertuan Agong di Lounge Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen.
Menurut saudara Ng Wai Hoe, dia berasa amat bersyukur dan bangga atas kejayaan tersebut dan berterima kasih kepada ibu bapanya, penaja, USM dan juga penyelianya.
“Saya akan melakukan yang terbaik dalam pengajian saya dan melaksanakan kajian yang dapat memberi manfaat dan sumbangan kepada negara dan masyarakat dalam bidang bioperubatan,” tambahnya lagi.
Pada majlis tersebut, dua belas penerima terdiri daripada para pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan Sarjana dalam pelbagai bidang. Daripada jumlah tersebut, empat penerima adalah bakal menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM).
Selain Hoe, 3 lagi pelajar yang akan menuntut di USM ialah Roszaharah Yaacob dan Chua Hooi Chin di peringkat Doktor Falsafah (PhD) serta Syazreen Sophia Abdul Halim di peringkat Sarjana.
Saudara Ng Wai Hoe adalah merupakan pelajar dalam bidang Doktor Falsafah Bioperubatan (Molekular dan Biologi Sel) di bawah seliaan Dr. Tan Jun Jie daripada Kluster Perubatan Regeneratif IPPT.
Biasiswa ini telah diperkenalkan sejak tahun 2006 menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Warganegara Malaysia yang cemerlang dalam akademik serta mendapat tempat di universiti terkemuka di dalam dan luar negara diberi peluang untuk memohon.
Menurut Dr. Tan Jun Jie kejayaan Wai Hoe mendapat biasiswa pada kali ini mengulangi pencapaian pada tahun lepas di mana pelajar seliaan beliau iaitu Leong Yin Yee telah menjadi penerima tunggal bagi USM.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid / Faisal Jamaludin Foto : Ng Wai Hoe
- Last updated on .
- Hits: 3313