SALAM AIDILADHA 1435 HIJRAH
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah, rahmat dan kasih sayangNya sekali lagi kita diberi kesempatan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha yang merupakan hari kebesaran bagi umat Islam di seantero dunia. Hari Raya Aidiladha mengingatkan kita akan peristiwa sirah di mana Nabi Ibrahim AS telah diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail AS. Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka Allah telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim AS sudah bersedia menyembelih anaknya itu.
Peristiwa ini membuktikan bahawa apabila sesuatu pengorbanan itu dilakukan dengan penuh keikhlasan dan hanya mengharap redha Allah maka kejayaan akan menanti kita. Seharusnya kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS ini dijelmakan di dalam kehidupan seharian supaya kita tidak terlalu cintakan dunia dan takut kepada mati.
Sempena dengan Hari Raya Aidiladha adalah digalakkan untuk kita berpuasa sunat Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah Haji kerana mempunyai ganjaran yang besar. Kelebihan berpuasa pada hari Arafah ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang, berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW. Bagi mereka yang berkemampuan laksanakanlah ibadah korban dengan harapan mudah-mudahan ianya akan diterima oleh Allah dan akan menjadi tunggangan kita di titian sirat kelak. Tidak lupa juga kepada seluruh umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah Haji di Makkah mari sama-sama kita doakan semoga mereka beroleh Haji yang Mabrur.
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada semua staf IPPT, pelajar serta pesakit. Akhir kata selamat pulang ke kampung halaman masing-masing, hati-hati memandu dan saya doakan semoga selamat sampai serta selamat kembali bertugas nanti.
Nukilan daripada
Profesor Dr. Abd Aziz Tajuddin
Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
8 Zulhijjah 1435 bersamaan 3 Oktober 2014
- Last updated on .
- Hits: 4245