KOLOKIUM PERTAMA DALAM PENYELIDIKAN TERJEMAHAN UNTUK PELAJAR SARJANA
BERTAM, 9 September 2014 - Kluster Perubatan Regeneratif, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dengan kerjasama Institut Pengajian Siswazah (IPS) telah menganjurkan “1st AMDI Postgraduate Colloquium in Translational Research” dengan tema “Joining Forces in Translational Medicine”.
Prof. Dr. Narazah Mohd Yusoff, Timbalan Pengarah Penyelidikan, Penerbitan dan Inovasi IPPT berkata, kolokium ini adalah merupakan aktiviti akademik penting untuk mempamerkan penyelidikan translasional perubatan yang baru di Malaysia.
“Ia diadakan tepat pada masanya untuk memberi pengetahuan terkini dalam aktiviti penyelidikan translational dengan membincangkan pendekatan dan alat-alat terbaru yang direka khusus dalam pembangunan penyelidikan masa kini.
“IPPT mempunyai penyelidik-penyelidik terbaik yang telah memulakan penyelidikan translational dalam pelbagai aspek dan universiti akan terus memberikan sokongan untuk mewujudkan rangkaian dengan institusi-institusi terkemuka dunia,” tambah beliau lagi semasa menyampaikan ucapan perasmian kolokium berkenaan yang diadakan di Kompleks Penyelidikan Haiwan (ARC) IPPT.
Kolokium 2 hari itu yang julung kali dianjurkan disertai oleh 70 orang peserta dan telah menghimpunkan penceramah-penceramah yang cukup berpengalaman dalam bidang penyelidikan masing-masing.
Antaranya ialah Prof. Dr. Jafri Malin Abdullah, Pengarah Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains USM; Prof. Munavvar Zubaid Abdul Sattar, Pengerusi Jawatankuasa Etika Haiwan USM; Prof. Dr. Norazmi Mohd Nor, Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM); Prof. Madya Dr. Zafarina Zainuddin, Pengarah Penyelidikan Molekular Biologi/Genetik, IPharm dan Prof. Dr. Narazah Mohd Yusoff, Timbalan Pengarah Penyelidikan, Penerbitan dan Inovasi IPPT.
Dalam kolokium itu juga, lebih 30 kertas kerja dibentangkan merangkumi pembentangan plenari, poster dan oral.
Prof. Dr. Narazah Mohd Yusoff dan tetamu juga turut dibawa melawat booth pameran yang dikendalikan oleh rakan-rakan penaja industri, antaranya Biomarketing Services Sdn. Bhd, Demi Dinamik Sdn Bhd, Qiagen Biotech, Biospensa, Mutiara Saintifik, Sciencewerke Sdn Bhd, Matrix Optics, Analisa Resources, Canvio dan Medigene Sdn Bhd.
Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Norizan Ishak & Amir Zaidi Abu Hassan
- Last updated on .
- Hits: 2492