Skip to main content

IPPT TERIMA PELAJAR BARU SARJANA SAINS SIDANG AKADEMIK 2014/2015

PRO 7909

BERTAM, 4 September 2014 -  Seramai 32 orang pelajar Sarjana Sains bagi Sidang Akademik 2014/2015 yang ditawarkan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Univesiti Sains Malaysia (USM) menjalani sesi orientasi selama dua hari bermula hari ini yang diadakan di Bilik Kuliah Akademik.

Prof. Abd. Aziz Tajuddin, Pengarah IPPT terlebih dahulu mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelajar kerana telah terpilih untuk melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga merupakan Universiti APEX dan Universiti Penyelidikan terulung di Malaysia.

“Gabungan semua pensyarah berpengalaman dan baru yang ada di IPPT akan sedia membantu anda semua dalam sesi pengajaran dan pembelajaran sepanjang pengajian di sini. Justeru itu, berusahalah bersungguh-sungguh demi mencapai hasrat yang diimpikan dalam mengecapi kejayaan untuk bangsa dan negara,” tambah beliau lagi semasa menyampaikan ucapan di hadapan pelajar baru yang hadir.

Pengambilan kali ini adalah untuk Mod Campuran yang terdiri daripada 3 bidang pengajian selama setahun iaitu Sarjana Sains (Penyelidikan Perubatan) seramai 26 orang pelajar, Sarjana Sains (Toksikologi Kesihatan) 12 orang pelajar dan Sarjana Sains (Sains Transfusi) seramai 11 orang pelajar. Jumlah ini dilihat meningkat berbanding tahun lepas yang mencatatkan bilangan pelajar seramai 23 orang.

Turut hadir dalam sesi orientasi berkenaan ialah Timbalan-timbalan Pengarah, ketua-ketua Kluster dan semua pensyarah IPPT.

Pada bulan Jun lalu, seramai 11 orang pelajar telah mendaftar untuk program Sarjana Perubatan (Perubatan Nuklear) dan Sarjana Perubatan (Perubatan Transfusi). IPPT hanya menawarkan program sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) sahaja dengan pengambilan pelajar pertama pada sidang akademik 2004/2005.

 

Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 2592