Skip to main content

PROGRAM MUNAJAT PERDANA SELAMATKAN UMMAH

 MG 8764

BERTAM, 4 September 2014 – Menyedari bahawa krisis dan konflik yang berlaku di Syria dan Gaza masih berlarutan, IPPT telah mengambil inisiatif dengan mengadakan Majlis Munajat Ummah Perdana yang bertujuan untuk mendoakan kesejahteraan ummah di sana. Selain itu, tidak lupa juga kepada para pesakit yang sedang menerima rawatan di IPPT dan keluarga mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH 17 dengan harapan semoga  mereka sentiasa tabah dan bersabar dengan ujian yang menimpa.

Majlis Munajat Perdana ini telah dimulakan dengan Solat Hajat, majlis bacaan Yaasin dan Tahlil yang telah dipimpin oleh Ustaz Mohammad Shukri bin Osman, Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan IPPT serta Ceramah Perdana bertajuk “Syria dan Gaza Menuju Kemenangan Akhirat” yang telah disampaikan oleh Ustaz Abdullah Khairi bin Harun, Mudir Pusat Kecemerlangan As-Syafie (PAKSY).

Munajat Perdana

Di dalam ceramahnya Ustaz Abdullah telah menghuraikan beberapa ayat suci Al-Quran dan Hadis Nabi SAW yang berkait rapat dengan situasi semasa yang melanda umat Islam di Syria dan Gazzah. Menurut beliau, situasi yang berlaku kepada umat Islam pada masa kini jelas membuktikan bahawa kiamat makin hampir dan dunia sudah berada di penghujungnya. Beliau menyeru para hadirin supaya mempersiapkan diri dengan meningkatkan amal ibadah dan amalan kebajikan sebagai persiapan untuk menghadapi hari kiamat dan hari kebangkitan di Padang Mahsyar nanti.

Selain itu, tegas beliau lagi adalah penting bagi kita umat Islam untuk belajar memahami dan mendalami ilmu A-Quran. Hal ini kerana apabila faham Al-Quran kita akan kenal Allah dan patuh pada titah dan perintahNya. Di akhir ceramahnya Ustaz Abdullah berpesan kepada semua yang hadir supaya sentiasa bermunajat kepada Allah SWT agar umat Islam di Syria dan Gazzah serta di mana sahaja diberi kekuatan untuk mengalahkan musuh-musuh Islam dan mudah-mudah diberi kemenangan InsyaAllah.

Majlis Munajat Perdana ini telah diakhiri dengan Jamuan Ukhuwwah yang bertujuan untuk meraikan semangat ukhuwwah dan mengeratkan silaturrahim dalam kalangan warga staf IPPT.

 

Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid  / Foto: Amir Zaidi Abu Hassan

  • Last updated on .
  • Hits: 2794