IPPT TERIMA KUNJUNGAN HORMAT PUSAT PAKAR AMAN JAYA
BERTAM, 11 Ogos 2014 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) telah menerima kunjungan hormat delegasi daripada Aman Jaya Specialist Centre (ASC), Pusat Pakar Aman Jaya, Sungai Petani, Kedah.
Kunjungan ini adalah bertujuan untuk mengadakan perbincangan dua hala bagaimana ASC dapat mewujudkan kerjasama dengan IPPT dalam usaha menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit. Antara perkara yang dibincangkan adalah kemungkinan kerjasama dalam bentuk perkongsian kepakaran dan teknologi, penjanaan kewangan dan pelancongan perubatan.
Pengarah Urusan ASC, Dr. Tan Chiang Hooi, yang juga Pakar Perunding Sakit Puan merakamkan ucapan terima kasih kepada Profesor Dr. Abd Aziz Tajuddin, Pengarah IPPT kerana sudi menerima kunjungan dan juga berkongsi idea dalam usaha untuk menambah baik mutu perkhidmatan. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Klinikal IPPT, Dr. Muhammad Yusri Musa, Pakar-pakar Perubatan dan Pergigian IPPT.
ASC telah mula beroperasi sejak tahun 2005, mempunyai 19 buah katil pesakit wanita dan menawarkan perkhidmatan kepakaran dalam bidang Kanak-kanak dan Sakit Puan. ASC bakal beroperasi di bangunan baru yang terletak Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani, Kedah pada September ini. Bangunan baru ASC adalah berkonsepkan Green Hospital, mempunyai 108 buah katil pesakit dan akan menawarkan pelbagai perkhidmatan kepakaran.
Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid / Foto : Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 2034