MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN PERALATAN DAN PENGEMBALIAN PREMIS SEWAAN
BERTAM, Julai 2014 – Satu majlis penyerahan sumbangan peralatan kepada komuniti telah diadakan di sini baru-baru ini. Peralatan yang disumbangkan adalah terdiri daripada perabot dan penghawa dingin terpakai yang tidak digunakan lagi. Lanjutan daripada perpindahan operasi kerja IPPT daripada premis sewaan rumah kedai ke premis tetap ianya telah melibatkan lebihan peralatan yang masih boleh digunakan dan berada dalam keadaan yang baik.
Bagi mengelakkan kesesakan tempat pengumpulan barang terpakai di gudang IPPT dan mengambilkira sumbangan jabatan kepada masyarakat, pihak Pengurusan IPPT telah mengambil inisiatif dengan menyumbangkan peralatan tersebut kepada pihak sekolah, surau dan masjid yang berdekatan.
Menurut Encik Saiful Bahri Abd Jamil, Ketua Jurutera Mekanikal, adalah diharapkan dengan sumbangan ini akan dapat membantu meringankan beban dan meningkatkan aktiviti kemasyarakatan penduduk setempat.
Pada minggu sebelumnya, satu majlis penyerahan kunci kepada pemilik premis rumah kedai telah diadakan di sini. Penyerahan kembali peremis rumah kedai yang disewa daripada pemilik melibatkan bangunan di Lot 6 dan Lot 13 yang dahulunya digunakan sebagai ruang kerja untuk perpustakaan, klinik, makmal dan Pusat Latihan IPPT.
Acara penyerahan kunci telah berjalan lancar dan disempurnakan oleh Pengarah IPPT, Profesor Abd Aziz Tajuddin kepada pemilik yang berkenaan. Dalam ucapan aluannya, Profesor Aziz telah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pemilik premis kerana telah memberikan kerjasama yang baik kepada IPPT sepanjang tempoh sewaan. Turut hadir dalam majlis ini ialah Encik Saiful Bahri Abd Jamil, Ketua Jurutera Mekanikal dan Puan Noorshamila Othman, Penolong Bendahari Kanan.
Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid Foto: Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 2219