PROGRAM DISKUSI ILMIAH : RAMADHAN DAN KECEMERLANGAN IPPT
BERTAM, 11 Julai 2014 - Program Diskusi Ilmiah: Ramadhan Dan Kecemerlangan IPPT telah diadakan di Kompleks Penyelidikan Haiwan (ARC) dengan tajuk “Ilmu dan Amal Tingkatkan Produktiviti Kerja”. Program anjuran Bahagian Penyelidikan, Penerbitan dan Inovasi (BPPI) dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam (UHEIS) telah menampilkan Dato’ Dr. Abdul Razak Kechik, Presiden Malaysian Relief Agency selaku penceramah undangan.
Lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar IPPT telah hadir dalam program diskusi ilmiah ini. Program bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini bertujuan untuk memberi panduan dan ilmu yang berguna dalam melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang budaya kerja, program ini diharapkan dapat memberi impak yang tinggi dalam pembikinan tenaga kerja di IPPT terutamanya di bulan puasa.
Dato’ Dr. Abdul Razak Kechik dalam ceramahnya berkata, “tahap produktiviti kerja dan prestasi di bulan Ramadan perlu seimbang dengan produktiviti pada bulan-bulan lain. Bulan puasa bukanlah masa untuk seseorang 'curi tulang', malas, tidak produktif dan cuai dengan tanggunjawab yang telah diamanahkan.”
Dalam program berkenaan juga, Dato’ Dr. Abdul Razak Kechik turut menceritakan pengalaman beliau bersama Malaysian Relief Agency dalam menjalankan misi kemanusiaan yang dihulurkan kepada mereka yang memerlukan di dalam dan luar negara. Antara yang dapat dikongsikan ialah tentang misi bantuan kemanusiaan Taufan Haiyan di Filipina.
Prof. Abdul Aziz Tajuddin, Pengarah IPPT dalam majlis yang sama turut menyampaikan sumbangan warga IPPT untuk Tabung Bantuan Kemanusiaan Taufan Haiyan Filipina.
Taufan Haiyan yang dikategorikan sebagai taufan kelas kelima telah melanda wilayah tengah Filipina meliputi beberapa buah pulau yang padat dengan penduduk terutamanya di Pulau Leyte, Pulau Samar, Pulau Mindanao, Pulau Cebu dan Pulau Negros pada penghujung tahun lalu. Taufan ini mampu mencapai kelajuan angin yang dibawanya lebih daripada 230km/jam.
Lebih daripada 6 ribu orang dilaporkan terkorban dan sehingga kini masih terdapat mayat-mayat yang belum ditemui. Kehidupan penduduk di kawasan berkenaan terjejas teruk dimana kediaman dan rumah mereka musnah dalam bencana berkenaan.
Teks/ Foto : Faisal Jamaludin
- Last updated on .
- Hits: 1793