Skip to main content

WARGA IPPT BERSAMA HIDUPKAN AKTIVITI DI BULAN RAMADHAN

Ihya Ramadhan 2014

BERTAM, 27 Jun 2014 - Bersempena dengan kedatangan bulan yang mulia Ramadhan Al-Mubarak, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM dibawah seliaan Unit Hal Ehwal Islam (UHEIS) sekali lagi akan melaksanakan Program Ihya Ramadhan 1435H yang juga merupakan antara aktiviti tahunan.

Ramadhan adalah bulan yang Allah janjikan kepada seluruh umat untuk mendapat pahala yang berlipat ganda. Justeru itu, program ini dirancang dan dilaksanakan dengan tujuan untuk mendapatkan keredhaan Allah dan memohon agar ibadah yang dilakukan mendapat ganjaran pahala dari Allah, serta dapat memberikan kesedaran dan pengajaran dalam penghayatan Ramadhan.

Pada tahun ini, aktiviti Ihya Ramahdan dimulakan dengan Program Hilal Ramadhan yang telah diadakan di Kompleks Klinikal IPPT. Penceramah undangan, Ustaz Rosidi Hussain dijemput untuk berkongsi ilmu yang bermanfaat bersama seluruh warga kerja IPPT.

Ustaz Rosidi berkata, “Bulan Ramadhan adalah bulan yang suci, bulan yang penuh dengan hikmah dan hidayah. Ia membawa pelbagai rahmat dalam pelbagai bentuk, bukan sahaja dari segi pahala dengan amalan ibadah yang digalakkan dan amalan kebajikan, tetapi juga dari segi membentuk sifat dan keperibadian seseorang manusia itu untuk terus mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.”

Pada program ini juga, Ustaz Rosidi turut bersama-sama menyampaikan sumbangan kepada pesakit-pesakit yang berada di wad Unit Pesakit Dalam IPPT. Semoga dengan sumbangan tersebut dapat menceriakan pesakit-pesakit yang mendapatkan rawatan di IPPT pada bulan yang mulai ini.

Dalam merangka Program Ihya Ramadhan di IPPT tahun ini, pelbagai aktiviti telah dirancang antaranya ialah seperti Program Ziarah Amal Ramadhan, Program Iftar Perdana, Program Bicara Ilmu, Majlis Ilmu “Fikrah Ramadhan” dan “Pesona Muslimah” serta aktiviti gotong royong bagi penyediaan juadah berbuka.

Aktiviti-aktiviti yang dirancang ini diharap dapat mengimarahkan lagi Bulan Ramadhan yang mulia ini serta memupuk semangat bekerjasama dan saling bantu membantu dalam diri warga IPPT.

 

 

Teks: Faisal Jamaludin     Foto : JK Ihya Ramadhan

  • Last updated on .
  • Hits: 2067