Skip to main content

JURURAWAT IPPT SANTUNI ANAK-ANAK ISTIMEWA

PDK Hari Jururawat

PENAGA, 21 Jun 2014 – Anak-anak Istimewa adalah merupakan anugerah yang tidak ternilai daripada yang Maha Esa kepada ibu bapa untuk dibesarkan dan dibimbing supaya menjadi insan yang mulia. Kekurangan atau kecatatan yang pada pada anak-anak ini tidak harus menjadi noktah kepada kehidupan mereka kerana pada diri mereka masih banyak yang boleh dicungkil dan dibangunkan supaya boleh berdikari dan menjalani kehidupan harian seperti biasa. Pihak Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menubuhkan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negara dengan tujuan untuk membantu anak-anak istimewa dan ibu bapa yang menjaga mereka. 

Sempena dengan sambutan Hari Jururawat Sedunia, Unit Kejururawatan IPPT telah mengambil inisiatif dengan mengadakan program amal dan khidmat masyarakat di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Permatang Bendahari, Penaga, Seberang Perai Utara. Program amal ini adalah bertujuan untuk mendekatkan Jururawat dengan masyarakat dan pada masa yang sama memberi sokongan moral kepada aktivitis PDK dan juga kepada ibu bapa anak-anak istimewa.

Menurut Puan Noridah Ismail, yang merupakan Penaung PDK Permatang Bendahari memaklumkan bahawa pada tahun 2014 seramai 63 orang anak istimewa yang termasuk dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) berusia di antara 2 hingga 38 tahun telah berdaftar dengan pusat ini. Manakala pada tahun 2013 jumlah yang berdaftar dengan pusat ini adalah seramai 44 orang sahaja. Peningkatan jumlah pendaftaran anak istimewa ini adalah ekoran daripada timbulnya kesedaran dalam kalangan masyarakat setempat tentang pentingnya anak istimewa diberi bimbingan dan didikan yang sempurna supaya dapat berdikari. Tambah beliau lagi anak-anak istimewa di sini akan didedahkan dengan ilmu pengurusan diri, kemahiran sosial (membaca,menulis,mengira), belajar ilmu agama dan juga kemahiran berinteraksi.

Bagi meraikan anak-anak istimewa ini, pelbagai aktiviti telah diadakan seperti senamrobik, persembahan tarian oleh anak-anak istimewa, persembahan nyanyian dan majlis jamuan yang disediakan secara bergotong-royong. Pada majlis yang sama Unit Kejururawatan IPPT turut menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada penghuni PDK Permatang Bendahari. Turut serta dalam program ini ialah YB Tuan Haji Mohd Zain Ahmad, Adun Penaga, Encik Md Hisham Abd Razak, Pengurus Kanan Farmasi dan Kelestarian yang mewakili Pengarah IPPT, Encik  Rahim Mohamad Alif, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah SPU, Puan Naseema Abdur Rahman, Penolong Pengarah Jururawat IPPT merangkap Pengarah Program dan Che Zaiton Dahalan, Penyelia Jururawat IPPT.

Adalah diharapkan dengan program seumpama ini akan mendekatkan lagi universiti dengan masyarakat. Semoga dengan usaha kerdil dalam menyantuni golongan yang kurang bernasib baik ini akan memberikan impak yang positif kepada semua pihak dan apa yang paling penting ialah masyarakat merasai kehadiran IPPT dan hasrat universiti untuk ‘memasyarakatkan universiti’ telah diterjemahkan melalui aktiviti amal dan kebajikan.

 

Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid      Foto : Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 2212