FUTSAL UKHUWAH PIALA PENGARAH JALIN SILATURRAHIM WARGA IPPT
BERTAM, 21 Jun 2014 - Kelab Rekreasi, Kebajikan dan Sosial (KRKS) dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam (UHEIS) telah menganjurkan Kejohanan Futsal Ukhuwah (Persaudaraan) Piala Pusingan Pengarah IPPT 2014 bertampat di Perkarangan Kompleks Klinikal IPPT.
Kejohanan tahunan ini telah disertai oleh 6 pasukan yang terdiri daripada staf IPPT dari pelbagai jawatan. Turut serta dalam kejohanan ini ialah satu pasukan jemputan dari Kampus Induk USM. Dengan semangat musim Piala Dunia Brazil yang sedang berlangsung, setiap pasukan dinamakan mengikut negara-negara yang beraksi dalam Piala Dunia kali ini.
Sepak mula kejohanan yang bermula seawal jam 7.30 pagi, di mana pertandingan dijalankan secara liga. Setiap pasukan menunjukkan kemahiran dan kekuatan masing-masing dalam mengalahkan pihak lawan dengan menerapkan unsur-unsur ukhuwah tanpa sebarang persengketaan.
Pengerusi Kelab Rekreasi, Kebajikan dan Sosial (KRKS), Saudara Mohd Rahimi Abdullah berkata, “Kejohanan futsal ini diharapkan dapat mengeratkan silaturrahim di antara warga IPPT disamping dapat memupuk gaya hidup yang sihat dengan aktiviti bersukan.”
“Kalah dan menang itu adat pertandingan kerana apa yang lebih penting adalah semangat kesukanan yang telah ditunjukkan oleh para peserta dan kejohanan ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang,'' tambahnya lagi.
Perlawanan yang berakhir sekitar jam 1.00 petang telah menyaksikan pasukan Brazil menewaskan pasukan Argentina dengan jaringan 3 berbalas 1.
Teks / Foto: Faisal Jamaludin
- Last updated on .
- Hits: 2002