SEMINAR ISU-ISU ETIKA DALAM PENYELIDIKAN
BERTAM, 19 Jun 2014 - Isu etika adalah merupakan perkara yang perlu diberi tumpuan oleh semua penyelidik sebelum memulakan sesuatu projek kajian. Hal ini kerana ianya melibatkan penggunaan manusia sebagai subjek kajian. Lantaran itu, segala maklumat subjek kajian hendaklah dipelihara dan dirahsiakan demi untuk menjaga maruah dan kebajikan subjek.
Umum mengetahui bahawa sekiranya hendak menggunakan haiwan sebagai subjek kajian ada syarat-syaratnya dan ada etika yang mesti dipatuhi supaya kita tidak sewenang-wenangnya menzalimi haiwan apatah lagi manusia yang amat mulia di sisi Tuhan yang Maha Esa.
Menyedari tentang betapa pentingnya isu etika dalam penyelidikan, Bahagian Penyelidikan, Penerbitan dan Inovasi (BPPI) telah menganjurkan Seminar Isu-Isu Etika Dalam Penyelidikan yang bertujuan untuk menyebarkan maklumat kepada penyelidik tentang kepentingan etika dalam penyelidikan yang merangkumi penyelidikan bidang genetik dan semua penyelidikan yang melibatkan manusia sebagai subjek. Selain itu, seminar ini juga adalah sebagai platform untuk menerangkan dengan lebih terperinci tentang polisi dan peranan Jawatankuasa Etika Penyelidikan Manusia (JEPeM).
Seminar ini juga bermatlamat untuk mengemaskini hala tuju baru JEPeM ke arah akreditasi oleh WHO dan sebarang yang berkaitan dengannya serta impaknya kepada penyelidikan. Menurut Prof. Dr. Narazah Mohd Yusoff, Timbalan Pengarah Penyelidikan, Penerbitan dan Inovasi IPPT yang juga selaku Pengerusi Seminar, berkata “JEPeM dikawal selia oleh Pusat Pengajian Sains Perubatan USM dan merupakan jawatankuasa yang dipertanggungjawabkam untuk menyemak dan menilai proposal penyelidikan bagi geran jangka pendek atau geran jangka panjang.”
Seminar Isu-Isu Etika Dalam Penyelidikan yang berlangsung di Dewan Seminar Kompleks Penyelidikan Haiwan IPPT telah dirasmikan oleh Profesor Abd Aziz Tajuddin, Pengarah IPPT. Turut hadir semua Timbalan Pengarah IPPT, Ketua-ketua Kluster, Pensyarah, Pegawai Sains dan Pegawai Penyelidik. Adalah diharapkan melalui seminar umpama ini akan dapat meningkatkan tahap penyelidikan di IPPT dan menambah bilangan geran dalam kalangan penyelidik di IPPT.
Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid Foto : Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 4370