Skip to main content

PENYELIDIK IPPT BANTU MASYARAKAT ORANG ASLI

Baling Asli

BALING, 14 Jun 2014 - Batuk kering atau penyakit tuberkulosis yang juga popular dengan nama TIBI adalah jangkitan bakteria yang biasanya menyerang paru-paru dan ia juga mampu menyerang sistem saraf tunjang, sistem limfa, sistem peredaran, sistem genitourinari, tulang, sendi dan lain-lain.

Penyakit tibi muncul sebagai pembunuh nombor satu di Malaya di antara tahun 1945 hingga 1957. Pada waktu itu, sebahagian besar katil-katil di hospital dipenuhi oleh pesakit berkenaan.

Program pencegahan yang berkesan termasuk kesedaran asas penyebaran penyakit ini adalah penting untuk mengurangkan penularan TB dalam masyarakat. Pengesanan awal dan rawatan segera juga amat penting dilakukan bagi menyelamatkan nyawa.

Orang Asli adalah golongan minoriti asli Semenanjung Malaysia dan juga di kalangan komuniti yang paling terpinggir. Menerusi statistik yang diperolehi, penyakit TB di kalangan Orang Asli adalah lebih tinggi berbanding penduduk bukan Orang Asli di Perak.

Menyedari hakikat ini, sekumpulan penyelidik dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia yang diketuai oleh Dr. Muhammad Yusri Musa telah menjalankan kajian di bawah geran Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) untuk melaksanakan pencegahan dan memberi pengetahuan asas kepada masyarakat Orang Asli tentang penyakit TB ini.

Projek yang dijalankan di Perkampungan Orang Asli Lubuk Legong, Siong, Kedah ini bertujuan untuk melihat sejauhmana penyakit ini merebak dalam masyarakat orang asli dan melihat keberkesanan suntikan vaksin BCG terhadap penularan penyakit ini. Selain itu, apa yang paling penting ialah memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat orang asli tentang penyakit ini.

Program ini juga turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Dareah Baling Kedah, Pertubuhan IKRAM Malaysia Baling/Sungai Petani, Islamic Medical Association of Malaysia dan Maahad Tahfiz Al-Ansar.

 

Teks/Foto : Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 2257