HARI JURURAWAT SEDUNIA DISAMBUT MERIAH
BERTAM, 30 Mei 2014 – Tanggal 12 Mei setiap tahun adalah merupakan hari yang telah dikhaskan sebagai hari sambutan untuk para jururawat bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka kepada masyarakat. Jururawat sentiasa berhadapan dengan risiko dan cabaran ketika menjalankan tugas namun ianya tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berbakti dan memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat. Bagi menghargai sumbangan seluruh warga jururawat, IPPT telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Jururawat yang bertemakan ‘Nurses-A Force For Change, A Vital Resource For Health’ di Penang Golf Resort, Bertam.
Pengarah IPPT, Profesor Abd Aziz Tajuddin dalam ucapannya berkata “peranan jururawat amat penting kerana selain daripada memberi perkhidmatan kepada pesakit mereka juga berperanan membantu dalam aspek pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti penyelidikan.” Tambah beliau lagi adalah diharapkan jururawat IPPT akan menjadi ‘jururawat luar biasa’ atau pun dalam kata lain menjadi contoh kepada jururawat lain dari sudut penguasaan ilmu, soft skills, kecekapan dan multi tasking.
Majlis telah diserikan dengan persembahan nyanyian lagu Jururawat Serikandi Terbilang, bacaan ikrar, deklamasi puisi, acara memotong pulut kuning, cabutan bertuah dan persembahan multimedia. Turut hadir ke majlis ialah Dr. Muhammad Yusri Musa, Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian & Piawaian dan Pengurus-Pengurus Kanan. Selamat Hari Jururawat buat semua jururawat IPPT. Teruskan berbakti dan sentiasa istiqamah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Berita : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid Foto : Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 5196