Skip to main content

IPPT MENANGI ANUGERAH EMAS DI KONVENSYEN TEAM EXCELLENCE

KIK2

IPOH, 3 Jun 2014 – Penyertaan sulung Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) di dalam Konvensyen Team Excellence Wilayah Utara 2014 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ternyata membuahkan hasil apabila berjaya mencatat kemenangan dengan pengiktirafan emas.

IPPT diwakili oleh Kumpulan Inovasi 10 (i-10) dan Kumpulan Minda Hadapan yang terdiri daripada staf pelbagai kategori jawatan. Kedua-dua kumpulan ini telah membentangkan laporan projek Team Excellence (ICC) mereka menerusi konvensyen ini yang diadakan di Casuarina Convention Center Meru, Perak.

Menurut Encik Md Hisham Abd Razak selaku Ketua Aktiviti KIK/5S IPPT merangkap fasilitator kedua-dua kumpulan ini, berkata “kejayaan ini amat manis kerana ini merupakan kali pertama IPPT mengambil bahagian dan berjaya mendapat pengiktirafan emas. Antara kunci kejayaan ini adalah hasil daripada kerjasama semua pihak terutama ahli-ahli kumpulan yang saling bantu-membantu dan sentiasa bekerja dalam satu pasukan.”

Pada konvensyen tersebut, IPPT telah mengetengahkan inovasi baru dengan memperkenalkan pelapik tilam penyelamat pesakit menerusi gandingan kerjasama daripada Kumpulan Inovasi 10. Manakala Kumpulan Minda Hadapan telah memperkenalkan kombinasi sistem e-stor dan e-inventori yang dinamakan sistem FASTORE. Sistem ini diperkenalkan bertujuan untuk memudahkan tadbirurus tempat penyimpanan barangan. Sebagai tambahan, Kumpulan Minda Hadapan juga dikategorikan sebagai kumpulan hybrid kerana mereka menggabungkan ahli-ahli dari pelbagai unit dan disiplin.

Konvensyen Team Excellence anjuran MPC ini adalah merupakan acara tahunan dan bertujuan untuk membolehkan para peserta mempersembahkan projek menggunakan alat-alat dan teknik bersesuaian untuk dinilai oleh ahli panel penilai. Ia juga bertujuan meningkatkan kerjasama dan memupuk kepimpinan di dalam organisasi selain berkongsi pengalaman dalam usaha meningkatkan prestasi kumpulan. Menerusi penganjuran Konvensyen di peringkat wilayah ini juga, ia menjadi platform untuk memilih Kumpulan Team Excellence terbaik bagi menyertai Konvensyen Team Excellence peringkat Kebangsaan 2014.

Adalah diharapkan dengan kejayaan ini akan menjadi dorongan kepada staf IPPT yang lain untuk mengambil bahagian dengan aktif dalam aktiviti ICC di peringkat Jabatan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kumpulan Inovasi 10 dan Kumpulan Minda Hadapan yang telah berjaya mengharumkan nama USM di arena kualiti.

 

Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid      Foto: Team KIK IPPT

  • Last updated on .
  • Hits: 1762