IPPT RANCANG PENAWARAN KURSUS SARJANA SAINS PERUBATAN INTEGRATIF
BERTAM, 22 Mei 2014 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM kini dalam usaha untuk mewujudkan program pengajian baharu bagi memenuhi inspirasi negara dalam melahirkan graduan berkualiti dalam perbagai bidang terutamanya bidang profesional.
Program Pengajian Sarjana Sains Perubatan Integratif dirancang adalah berasaskan kepada misi dan objektif Kluster Perubatan Integratif, IPPT iaitu untuk menyediakan pelantar integrasi di antara perubatan tradisional dan alternatif ke dalam perubatan moden melalui kaedah penyelidikan saintifik.
Bengkel sehari telah diadakan bagi merangka kurikulum yang bersesuaian sebagai lanjutan kepada Ijazah Sarjana Muda modaliti T&CM yang telah ditawarkan bermula Sidang Akademik 2008/09 di IPTA dan IPTS seluruh negara. Penekanan khusus adalah berkisar kepada aspek perkembangan pengetahuan dari sudut penyelidikan yang sistematik dan berkualiti tinggi.
Memerusi bengkel tersebut juga, perbincangan khusus dapat diadakan bagi memurnikan isi kandungan kurikulum program Sarjana Sains Pengkhususan Perubatan Integrtif sebelum menghasilkan deraf terkini untuk dibawa ke peringkat Majlis IPPT sehingga kelulusan Senat USM. Usaha ini juga bertujuan untuk membentuk jalinan kerjasama dengan pihak luar dari IPPT yang sedang bergiat aktif di dalam penawaran kursus dan perkhidmatan Perubatan T&CM.
Graduan yang dihasilkan melalui program ini akan dilengkapi dan diperkukuhkan dengan pengetahuan asas dan teknologi serta metodologi penyelidikan terkini agar mempunyai keyakinan tinggi untuk mengenengah bukti-bukti saintifik, justeru berupaya untuk memartabatkan amalan Perubatan Integratif di Malaysia.
Oleh yang demikian, kurikulum ini yang bersifat antara disiplin yang menyediakan landasan penghubung antara sains fundamental dan klinikal mampu diyakini dapat melatih bakal graduan yang mempunyai perspektif yang luas dan menyeluruh mengenai permasalahan dan penyelesaian isu-isu bukti saintifik berkaitan amalan Perubatan Integratif.
Teks: Faisal Jamaludin Foto: Hartini Abd Ghani
- Last updated on .
- Hits: 1766