Skip to main content

KLUSTER SAINS GAYA HIDUP ANJUR BENGKEL PENUBUHAN PUSAT PENGAJIAN BAHARU

IMG 1234 copy2BERTAM, 20 Mei 2014 - Mengambil kira peranan institusi pendidikan tinggi untuk memberi sumbangan kepada kepada masyarakat dan negara dalam mengamalkan gaya hidup sihat, Universiti Sains Malaysia telah bercadang untuk menubuhkan sebuah Pusat Pengajian baharu iaitu Pusat Pengajian Sains Gaya Hidup di Kampus Bertam.

Walaupun perkara ini masih di peringkat perancangan awal, Kluster Sains Gaya Hidup, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia telah diberi tanggungjawab untuk menyelaras dan memulakan penubuhan pusat pengajian ini. Justeru itu, mereka telah menganjurkan satu bengkel bagi membincangkan tentang perkara berkenaan.

Bengkel Penubuhan Pusat Pengajian Sains Gaya Hidup yang diadakan selama 3 hari ini telah dihadiri oleh seramai 20 orang peserta jemputan yang terdiri daripada pakar pendidikan perubatan dan pakar bidang pengajaran subjek dalam kurikulum perubatan dan kesihatan. Mereka hadir bagi berkongsi idea dan cadangan untuk proses penyediaan kertas kerja dan dokumen-dokumen tertentu sebelum Pusat Pengajian tersebut dapat diwujudkan.

Pembangunan pusat pengajian ini mengambil kira perancangan akademik akan datang termasuklah cadangan untuk menubuhkan program-program baru yang melibatkan bidang gaya hidup sihat dan senaman.

Majlis Perasmian bengkel yang diadakan di Bilik Kuliah Akademik IPPT itu telah disempurnakan oleh Prof. Abd. Aziz Tajuddin, Pengarah IPPT. Dalam ucapannya, beliau berharap agar perkongsian pintar ini menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih erat dan juga menjadi medium terbaik di masa akan datang dalam pembentukan sebuah Pusat Pengajian baharu di universiti ini.

 

Teks / Foto : Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 1783