SEMINAR PERUBATAN NUKLEAR DAN PERLINDUNGAN SINARAN
BERTAM, 17 Mei 2014 – Perubatan nuklear adalah satu cabang perubatan yang menggunakan radiasi untuk memperolehi maklumat berdasarkan imej mengenai anatomi manusia dan fungsi organ-organ tertentu pada semua peringkat umur. Perubatan nuklear dapat menunjukkan struktur secara anatomi organ dan juga dapat memberikan maklumat mengenai fisiologi dan biokimia organ tersebut. Antara perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam bidang ini adalah seperti pengendalian bahan radioaktif, pengendalian radiofarmaseutikal, pengendalian peralatan perubatan nuklear dan aspek keselamatan sinaran terhadap pekerja, pesakit dan orang awam.
Menyedari tentang kepentingan bidang ini, Seksyen Onkologi dan Perubatan Nuklear, IPPT telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Seminar Perubatan Nuklear dan Perlindungan Sinaran: Updates On Neuroendocrine Tumours (NETs) Management yang telah diadakan di Kompleks Penyelidikan Haiwan (ARC) IPPT.
Seminar ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang kepentingan pengurusan Neuroendocrine Tumours (NETs) yang boleh diaplikasikan dalam konteks pengesanan dan perawatan penyakit kanser. Selain itu, seminar ini juga bermatlamat untuk memupuk kesedaran berkaitan kepentingan radiasi, kesan biologi dan risiko terhadap sinaran dalam perubatan nuklear serta memberikan input terkini dalam bidang perlindungan sinaran kepada peserta. Melalui seminar ini, para peserta turut diberikan informasi terkini dalam aspek pengurusan klinikal perubatan nuklear.
Bagi menjayakan seminar ini seorang tokoh telah dijemput khas iaitu Profesor Sobhan Vinjamuri, seorang Pakar Perubatan Nuklear dari Hospital Royal Liverpool University yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan NETs. Seorang lagi penceramah jemputan adalah daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang iaitu Tuan Haji Adnan Man selaku Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keselamatan Sinaran. Selain itu, beberapa ceramah lain telah disampaikan oleh pensyarah IPPT yang terdiri daripada Dr. Mahayuddin Abdul Manap, Dr. Rafidah Zainon dan Dr. Mohd Hafiz Mohd Zin.
Seminar ini telah dihadiri oleh 55 orang peserta dari pelbagai peringkat dan bidang seperti Pakar Perubatan, Pegawai Perubatan, Pegawai Farmasi, Pegawai Sains Fizik, Juru X-Ray, Penolong Pegawai Perubatan, Juru Teknologi Makmal Perubatan, Jururawat dan Pelajar Sarjana Perubatan yang terbabit secara langsung dengan penggunaan radiasi. Melalui maklum balas yang diterima oleh pihak penganjur, kebanyakan peserta yang hadir menyatakan seminar ini amat bermanfaat kerana banyak input terkini yang diperolehi dan ianya sangat diperlukan untuk menambahbaik kaedah rawatan bagi pesakit-pesakit kanser.
Berita : Farakhdina Jamaludin Foto : Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 3519