Skip to main content

DUA PAKAR KRANIOFASIAL BERKONGSI PENGALAMAN DAN KEPAKARAN

Kraniofasial Seminar 2014

BERTAM, 21 Mei 2014 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM dengan kerjasama Australian Cranio-Maxillofacial Foundation (ACMFF) telah menganjurkan “4th AMDI-ACMFF Craniofacial Seminar and Post Seminar Clinical Workshop” pada 21 dan 22 Mei 2014. Seminar separuh hari ini diadakan di Kompleks Penyelidikan Haiwan dengan diikuti bengkel satu hari setengah yang diadakan di Kompleks Klinikal. Tema seminar pada kali ini memberi penekanan aspek psikologi dalam pengurusan pesakit dengan masalah kraniofasial.

Ketua Kluster Sains Kraniofasial dan Biobahan IPPT, Dr Norehan Mokhtar menerusi ucapannya berkata, “penganjuran seminar ini memberi banyak peluang kepada pengamal bidang kraniofasial untuk berkongsi pendapat dan idea berdasarkan pengalaman mereka merawat pesakit.”

Beliau berharap agar semua peserta yang hadir dapat mengambil peluang yang ada ini untuk mempelajari sesuatu yang baru dalam bidang kraniofasial ini dan seterusnya dapat membantu masyarakat yang memerlukan rawatan.

Seminar yang dihadiri oleh lebih kurang 50 orang peserta ini bertujuan untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman bersama dua orang penceramah yang dijemput khas iaitu Prof. Dr. Peter J. Anderson, Pakar Bedah Kraniofasial dari Women’s and Children Hospital, Adelaide, Australia dan Dr. Rory F. Richardson, Pakar Neuropsikologi bagi membincangkan berkenaan aspek psikologi dalam kraniofasial abnormal.

Pembentukan kraniofasial yang abnormal memberi masalah kepada pesakit, keluarga dan kakitangan yang berdepan dengan pengendalian pesakit semenjak kecil sehingga dewasa. Masalah seperti pembesaran tulang muka dan tengkorak yang tidak seimbang mungkin disebabkan oleh faktor genetik, dan memberikan kesan negatif sepanjang proses tumbesaran pesakit. Oleh itu, aspek psikologi amat penting bagi memastikan pesakit dapat menjalani kehidupan seharian dengan sempurna.

 

 

Teks / Foto: Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 2399