LAWATAN KERJAYA SUNTIK MINAT PELAJAR
BERTAM, 30 April 2014 - Kerjaya dalam Bidang Sains semakin berkembang sejak kebelakangan ini dan minat para pelajar untuk menceburi bidang ini amat menggalakkan. Keperluan tenaga mahir di bidang ini untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan di negara ini sangat diperlukan.
Mengambil kira kepentingan pendedahan awal peluang kerjaya ini kepada para pelajar Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM telah menyambut baik kehadiran seramai 40 pelajar dari Sekolah Menengah Agama Daeratul Ma'arifil Wataniah (SMADMW) Kepala Batas, Pulau Pinang.
Taklimat kerjaya telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Puan Salina Mokhtar yang merupakan Pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim. Beliau telah memberikan pendedahan kepada pelajar berkenaan kerjaya secara umum dan menyeluruh.
Dalam lawatan tersebut juga, Dr. Doblin Sandai, Pensyarah Kluster Infektomik IPPT telah memberikan pendedahan kepada pelajar tentang kerjaya dalam Bidang Sains dan Encik Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid, Pegawai Penerangan menyampaikan taklimat pengenalan berkenaan IPPT.
Menerusi lawatan ini, para pelajar turut didedahkan dengan aktiviti di makmal yang dikendalikan oleh Dr Hasni Arsad. Aktiviti ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar terhadap kajian yang dijalankan oleh para penyelidik sebenar dalam bidang pekerjaan. Penggunaan makmal secara praktikal ini dapat memberikan lebih pengetahuan dan pengalaman kepada pelajar.
Usaha ini diharap dapat meningkatkan minat dan semangat pelajar untuk menceburi bidang sains yang semakin diperlukan masakini dan mampu memotivasikan semangat pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengecapi kejayaan.
Teks: Faisal Jamaludin Foto: Amir Zaidi Abu Hassan
- Last updated on .
- Hits: 1971