KONVOKESYEN USM KE-49 : GRADUAN IPPT TERIMA IJAZAH
PULAU PINANG, 26 April 2014 – Seramai 7 orang pelajar IPPT dan 3 orang Pensyarah Perubatan Pelatih IPPT telah berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang dan berjaya menerima Ijazah masing-masing pada Upacara Konvokesyen yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putera, Kampus Induk USM.
Pelajar IPPT terdiri daripada Dr. Saliz Mazrina Shaharom dan Dr. Anizah Arsad - Sarjana Perubatan (Perubatan Transfusi), Dr. Khor Phay Phay - Sarjana Perubatan (Perubatan Nuklear), Dr. Citartan Marimuthu - Doktor Falsafah, Nor Marwarti Ibrahim, Khoo Xin Hui dan Omar Saeed Ali Mohammed - Sarjana Sains (Mod Penyelidikan). Manakala Pensyarah Perubatan Pelatih IPPT pula terdiri daripada Dr. Khadijah Abdul Hamid - Sarjana Perubatan (Perubatan Nuklear), Dr. Suria Emilia Suhana Othman Tan dan Dr. Nur Arzuar Abdul Rahim - Sarjana Perubatan (Pediatrik).
Kesemua graduan IPPT telah menerima skrol Ijazah masing-masing daripada D.Y.M.M Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putera Jamalullail, Raja Perlis selaku Canselor USM pada sidang pertama dan Y.Bhg. Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Pro-Canselor USM pada sidang kedua. Turut berangkat ialah Raja Perempuan Perlis D.Y.M.M Tuanku Tengku Fauziah binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid, Pro Canselor USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Pengerusi Lembaga Gabenor USM Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman serta ahli-ahli Lembaga Gabenor dan ahli-ahli Senat USM.
Secara keseluruhannya USM telah berjaya menghasilkan seramai 1,088 orang graduan yang menerima Ijazah masing-masing pada konvokesyen kali ini. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua graduan IPPT yang telah berjaya memperolehi Ijazah masing-masing dan selamat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid Foto : Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 2996