KOMPLEKS KLINIKAL JALANI AUDIT AKHIR PERSIJILAN PERSEKITARAN BERKUALITI 5S/QE
BERTAM, 17 April 2014 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM sekali lagi menempa kejayaan dalam proses asas peningkatan kualiti dan produktiviti jabatan apabila telah lulus dalam Audit Akhir Ke Arah Pensijilan Persekitaran Berkualiti 5S/QE bagi Kompleks Klinikal oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Perkara tersebut diumumkan oleh Puan Adlina Snawi yang merupakan juruaudit daripada MPC sejurus selepas proses pengauditan dijalankan. Persijilan ini bertujuan untuk memastikan Perkhidmatan Klinikal IPPT sebagai sebuah institusi yang sentiasa memastikan tahap kekemasan dan susun atur persekitaran berada pada tahap yang terbaik.
Timbalan Pengarah Klinikal, Dr. Muhammad Yusri Musa dalam ucapan ringkasnya semasa pengumuman tersebut mengucapkan tahniah dan syabas atas kejayaan Persijilan Persekitaran Berkualiti (5S) bagi Kompleks Klinikal. Beliau berharap agar seluruh warga kerja Kompleks Klinikal dapat mengekalkan pembudayaan ini dan jadikan aktiviti 5S ini sebagai satu amalan seharian.
Konsep Amalan 5S mula diperkenal kepada syarikat-syarikat di negara Jepun pada awal tahun 1980an. Amalan 5S ialah kaedah atau alat pengurusan yang boleh mewujudkan persekitaran di tempat kerja berkualiti yang selesa, kemas dan selamat di dalam organisasi dan menentukan kepatuhan kepada piawaian serta dapat memupuk usaha penambahbaikan yang berterusan.
Usaha untuk mendapatkan persijilan ini telah bermula sejak tahun 2009 lagi. Disebabkan faktor-faktor tertentu, usaha ini dilaksanakan hanya sebagai satu amalan harian tanpa mendapatkan pensijilan. Pada penghujung tahun 2012, amalan ini dilihat sebagai salah satu cara yang terbaik untuk digerakkan bagi membudayakan cara kerja yang lebih praktikal melalui persekitaran kerja yang kondusif. Amalan 5S/QE ini akan menjadi asas kepada Gerakan Budaya Kerja Cemerlang yang lain. Pada penghujung 2013, Prof. Abd. Aziz Tajuddin, Pengarah IPPT telah melancarkan Kempen Amalan 5S di Kompleks Klinikal sebagai usaha untuk mendapatkan Pensijilan daripada MPC.
Teks / Foto : Faisal Jamaludin
- Last updated on .
- Hits: 4972