IPPT TERIMA ANUGERAH PTJ CEMERLANG LIBATSAMA KOMUNITI & INDUSTRI
PULAU PINANG, 1 April 2014 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM telah dianugerahkan sebagai salah sebuah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Cemerlang Libatsama Komuniti dan Industri bagi tahun 2013. Anugerah ini telah disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Omar Osman kepada Prof. Abd Aziz Tajuddin, Pengarah IPPT pada Majlis Penyampaian Sijil Kecemerlangan dan Penghargaan Libatsama Komuniti & Industri anjuran Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) Universiti Sains Malaysia di Dewan Pembangunan Siswa, USM.
Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri & Masyarakat, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey dalam ucapannya berkata, “pengiktirafan yang sewajarnya harus diberikan kepada penggiat libatsama komuniti dan penggiat industri yang telah mengharumkan nama USM di peringkat tempatan dan antarabangsa.”
“Penganugerahan ini diharap dapat menjadi contoh dan memberi dorongan serta galakan kepada staf dan pelajar lain untuk menyumbang keringat, pengetahuan dan kemahirandalam melaksanakan projek, aktiviti atau program libatsama komuniti pada tahun ini,” tambahnya lagi.
Anugerah Cemerlang kepada PTJ ini adalah untuk mengiktiraf jabatan yang telah banyak melaksanakan projek, program atau aktiviti libatsama yang membawa impak besar serta membawa perubahan kepada komuniti dan USM.
Selain itu, majlis yang bertemakan “Inovasi Dicipta, USM Berjasa” ini diadakan bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada individu-individu yang telah menyumbang kearah usaha-usaha murni memperkasakan komuniti melalui aktiviti, projek dan program libatsama yang telah dianjurkan.
Dalam majlis berkenaan juga, turut disampaikan Sijil Penghargaan dan Sijil Kecemerlangan kepada 316 penerima yang layak. Seramai 7 orang staf Institut Perubatan dan Pergigian Termaju telah tersenarai sebagai penerima anugarah tersebut. Dr Jahangir Kamaldin adalah antara menerima Sijil Kecemerlangan daripada 26 penerima keseluruhan. Manalaka Ustaz Mohammad Shukri Osman, Encik Mohamad Firdaus Harun, Dr. Sa'adiah Shahabudin, Puan Law Kim Sooi, Puan Che Zaiton Dahalan dan Puan Siti Aishah Hamid masing-masing menerima Sijil Penghargaan.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Profesor Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Abdul Rahman Mohamed, Pengarah Jaringan Industri BJIM dan Tuan Syed Yusof Syed Kechik, Pengarah Jaringan Komuniti BJIM.
Teks: Faisal Jamaludin Foto: Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 2109