Skip to main content

MENYINGKAP KEBENARAN DAN KEMELUT SYRIA

Ceramah Syria3

BERTAM, 20 Mac 2014 – Dunia hari ini sedang memberi penumpuan kepada kemelut politik di negara-negara Timur Tengah dan salah satunya ialah Syria. Kemelut di Syria sudah berlarutan hampir tiga tahun tanpa sebarang penyelesaian. Perang saudara yang berlaku telah menyebabkan lebih kurang 23 juta rakyatnya hidup dalam kesengsaraan dan penderitaan.

Bagi menyingkap kisah disebalik kemelut ini, Unit Hal Ehwal Islam (UHEIS) Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) telah menganjurkan Ceramah Perdana Semasa (CPS) bertajuk “Menyingkap Kebenaran dan Kemelut Syria”. Ceramah yang dihadiri oleh hampir 100 peserta ini telah disampaikan oleh Encik Syahrir Azfar iaitu wakil NGO “Malaysia Last Line for Syria” yang juga merangkap Exco ABIM.

“Malaysia Life Line for Syria” merupakan gabungan sukarelawan yang terdiri daripada 8 buah NGO yang terlibat dalam misi kemanusiaan di Syria. Antaranya ialah Gabungan Selamatkan Syria (GSS), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Global Peace Mission Malaysia, Malaysia Social Media Foundation (MSMF), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Syrian Youth Assembly Malaysia (SYAM), Pertubuhan Sinar Damsyik (P.E.R.S.I.D.A.M) dan PPMS.

Ceramah Syria2Menurut beliau, “laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan bahawa seramai 9.3 juta rakyat Syria memerlukan bantuan akibat kemelut yang berlaku di sana. Selain daripada bantuan dalam bentuk wang, rakyat Syria amat memerlukan bantuan makanan, perubatan dan susu tepung untuk kanak-kanak.”

Dalam ceramah tersebut, Encik Syahrir Azfar turut berkongsi pengalaman beliau sepanjang menjalankan misi kemanusian di Syria. Beliau turut menayangkan beberapa video yang mampu menyentuh sanubari setiap peserta ceramah.

Pihak “Malaysia Life Line for Syria” turut mengadakan pameran foto-foto kemelut yang berlaku di Syria dan dibuka untuk jualan. Hasil daripada jualan tersebut akan disumbangkan kepada rakyat Syria selain kutiapan derma melalui tabung yang disediakan.

Penganjur berharap, melalui ceramah seperti ini tidak akan ada lagi salah faham mengenai perjuangan rakyat Syria untuk menentang kezaliman Basyar kerana mereka juga adalah saudara seislam kita. Adalah wajib bagi kita untuk membantu mereka sekadar kemampuan yang ada. Tidak mungkin kita dapat membekalkan mereka dengan jasad kita sebagai pejuang tetapi kita mampu dengan sumbangan lain seperti berdoa, menyebarkan maklumat yang benar dan sumbangan wang.

Turut hadir dalam ceramah berkenaan ialah Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian dan Piawaian, Dr Muhamad Yusri Musa yang turut memberikan ucapan aluan dan merasmikan program ini.

 

 

Teks : Nurul Khairul Atiqah Rashidi (Pelajar Latihan Industri) / Faisal Jamaludin   Foto: Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 1947