IPPT TAWAR KEPAKARAN DALAM BIDANG KANSER
SUNGAI PETANI, 20 Mac 2014 – Satu roadshow telah diadakan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani bagi memberikan perkembangan terkini IPPT yang sekarang sedang memfokuskan perkhidmatan dalam bidang perawatan kanser. Ceramah telah disampaikan oleh Dr. Muhamad Yusri Musa, Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian dan Piawaian di hadapan kira-kira seratus orang kakitangan HSAH. Semasa dalam ceramahnya Dr. Yusri mengalu-alukan kerjasama daripada pihak HSAH dalam apa jua bentuk. Ujar beliau lagi IPPT berhasrat untuk menjadi sebagai pusat rujukan kanser di wilayah utara dan bagi merealisasikannya IPPT amat memerlukan sokongan dan jaringan kerjasama daripada hospital-hospital Kerajaan yang terdapat di kawasan utara.
Menurut Dr. Yusri, kerjasama pintar di antara IPPT dengan HSAH dan juga hospital-hospital lain amat penting kerana ianya akan menyumbang ke arah perkongsian ilmu, kepakaran dan pemindahan teknologi dalam konteks untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. Selain itu, dalam ceramahnya Dr. Yusri turut mengambil kesempatan dengan mempromosikan program akademik pasca siswazah yang ditawarkan oleh IPPT. Oleh itu, adalah diharapkan dengan program roadshow seumpama ini IPPT akan lebih dikenali dan pada masa yang sama hubungan kerjasama yang telah terjalin di antara IPPT dan HSAH akan bertambah erat.
Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid Foto: Amir Zaidi Abu Hassan
- Last updated on .
- Hits: 1913