Skip to main content

IPPT KAJI PRESTASI SKUAD LUMBA BASIKAL LEBUHRAYA NEGARA

Persatuan Berbasikal

BERTAM, 19 Mac 2014 - Kluster Sains Gaya Hidup, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia telah menjalinkan kerjasama dengan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerusi kajian yang diketuai oleh Dr. Ahmad Munir Che Muhamad bertajuk “The effect of natural acclimation to tropical condition in cyclist on exercise performance in warm dry and temperate condition”.

Menurut Dr. Ahmad Munir, kajian ini dilakukan bertujuan untuk mengenalpasti tahap prestasi pelumba negara dalam pelbagai situasi cuaca dan suhu sebagai persiapan menghadapi beberapa kejohanan besar di luar negara sepanjang tahun 2014.

Dr MunirDi negara ini, para jurulatih dan atlet sekarang masih kurang didedahkan dengan kepentingan aspek sains sukan dalam sesuatu program latihan sesebuah pasukan. Pengetahuan asas tentang tahap intensiti latihan amatlah penting bagi mengaplikasikannya dalam acara sebenar. Dikatakan juga, penyelidikan yang dijalankan terhadap sukan lumba basikal di Malaysia khususnya adalah masih kurang.

Kajian yang melibatkan 10 pelumba basikal lebuhraya Malaysia ini dijalankan dalam dua peringkat. Ia dipengaruhi oleh jadual pelumba yang agak ketat untuk memberi sepenuh komitmen dalam kajian ini. Antara nama-nama besar yang terlibat dalam kajian ini ialah Muhammd Rauf Nur Misbah, Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi, Suhardi Hassan, Mohd. Nor Rizuan Zainal, Abdul Rashid Ibrahim, Amirul Anuar Jafri, Mohd. Azuan Zulkifli dan Ahmad Fuaat.

Pihak Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyambut baik hasrat IPPT untuk menjalinkan kerjasama bagi meningkatkan mutu pasukan lumba basikal negara seterusnya tidak mahu ketinggalan dalam memanfaatkan aspek sains sukan. Mereka juga berharap agar kajian ini memberi impak besar yang positif kepada prestasi keseluruhan pelumba kebangsaan Malaysia.

 

 

Teks / Foto : Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 5638