CERAMAH KANSER PAYUDARA TINGKATKAN KESEDARAN WANITA

KEPALA BATAS, 25 Februari 2014 – Seramai 43 orang guru Sekolah Kebangsaan Pokok Sena telah mengikuti Program Kesedaran Kanser Payudara anjuran Unit Kejururawatan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT). Ceramah selama satu jam ini telah disampaikan oleh Penolong Pengarah (Jururawat) IPPT, Puan Law Kim Sooi yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran wanita mengenai kanser payudara.
Menurut Puan Law Kim Sooi, “daripada statistik yang diperolehi, kanser payudara adalah 31% daripada keseluruhan kanser yang ada dan ia merupakan satu kadar yang tinggi dan membimbangkan. Hal ini kerana, kebanyakkan wanita mengesan penyakit ini pada peringkat akhir dan lewat.”
Walaupun usaha meluas dijalankan bagi pengesanan awal dan rawatan berkesan, sekitar 20% wanita dengan barah payudara akan meninggal disebabkan penyakit tersebut, dan ia merupakan bentuk barah kedua yang mengakibatkan kematian tertinggi bagi wanita.
Dalam sesi ceramah yang disampaikan, para peserta diberi penerangan yang jelas mengenai kanser payudara, tanda-tanda untuk mengesan serta melakukan saringan pemeriksaan sendiri payudara. Untuk meningkatkan kefahaman para peserta, sesi demonstrasi pemeriksaan sendiri payudara (PSP) dengan menggunakan model patung juga dilakukan untuk menunjukan cara yang betul kaedah PSP ini dilakukan.
Menurut salah seorang guru Sekolah Kebangsaan Pokok Sena, Norzahidah Ismail 27, memberitahu bahawa sebelum ini beliau hanya melihat cara pemeriksaan payudara melalui internet. Namun dengan adanya ceramah ini beliau dapat mengenalpasti kesalahan cara pemeriksaan payudara yang dilakukannya sebelum ini. Beliau juga berharap agar program ini dapat diperluaskan lagi untuk memberikan pendedahan dan kesedaran kepada semua wanita tentang kanser payudara.
Daripada Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia, kira-kira 94% kes kanser payudara yang dirawat di hospital kerajaan sudah ditahap paling kritikal dan sukar dipulihkan dan kemungkinannya membawa maut. Antara puncanya adalah disebabkan pesakit lebih suka mendapatkan rawatan tradisional dan hanya bersetuju mendapatkan rawatan klinikal apabila sudah parah. Amalan inilah yang perlu dibuang dalam masyarakat kita dan kesedaran untuk mendapatkan rawatan awal di hospital adalah amat perlu bagi menguruangkan risiko yang boleh membawa maut.
Teks : Nurul Khairul Atiqah Rashidi (Pelajar Latihan Industri) / Faisal Jamaludin Foto: Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 5276