PERUTUSAN 2014: PERANAN SEMUA BANGUNKAN IPPT
BERTAM, 21 Februari 2014 - Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Prof Abd Aziz Tajuddin mengajak seluruh warga IPPT berganding bahu untuk sama-sama melaksanakan visi dan misi serta halatuju Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) bagi tahun 2014. Beliau menegaskan demikian pada Majlis Perutusan Pengarah 2014 yang berlangsung di Dewan Seminar, ARC, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju.
Dalam perutusannya di hadapan lebih kurang 300 warga IPPT yang hadir, beliau menyeru agar semua berusaha menaikkan nama Institut Perubatan dan Pergigian Termaju kepada masyarakat umum memandangkan konsep “Pergigian” yang wujud dalam nama tersebut tenggelam akibat kemajuan Perubatan yang efisyen di institut ini.
Beliau berkata, “sehingga hari ini, setiap pemimpin yang menerajui pengurusan tertinggi IPPT, Visi dan Misinya tetap sama dan tidak pernah berubah. Hasrat kita untuk memimpin dunia dalam penemuan baru yang berinovasi ke arah penyampaian perkhidmatan kesihatan yang holistik dan lestari masih diteruskan.”
“Kita tidak pernah lari daripada matlamat asal penubuhan IPPT, bahkan kita mensasarkan lebih lagi berbandiang apa yang kita harapakan supaya IPPT akan menjadi sebuah institusi yang gah di rantau ini,” tambahnya lagi.
Beliau berharap agar seluruh warga IPPT dapat menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan amanah dan berdedikasi untuk lebih memajukan IPPT pada tahun 2014 ini dan untuk masa akan datang. Selain itu, beliau juga menekankan konsep penjimatan yang telah disarankan oleh kerajaan dan langkah-langkah penjimatan yang telah diambil oleh IPPT dengan penutupan lot-lot rumah kedai yang disewa untuk dijadikan ruang pejabat dan makmal di Bandar Putra Bertam.
Dalam majlis berkenaan juga, beliau telah melancarkan Kempen Bebas Tembakau Peringkat IPPT dan Perasmian Klinik Berhenti Merokok. Klinik ini telah ditubuhkan pada tahun lepas untuk memberi peluang kepada perokok-perokok tegar yang berhasrat untuk berhenti merokok. Objektif penubuhan klinik ini ialah untuk mengurangkan bilangan warga IPPT yang mula merokok dengan memberi motivasi kepada mereka untuk berhenti. Selain itu, klinik ini juga menyediakan rawatan bersesuaian seperti kaunseling dan terapi gentian nikotin bagi meningkatkan kejayaan perokok untuk berhenti. Sehingga kini, seramai 18 orang perokok telah berjaya membuang tabiat merokok menerusi klinik ini dan mereka turut diberikan sijil penghargaan dalam majlis tersebut.
Teks : Nurul Khairul Atiqah Rashidi (Pelajar Latihan Industri) / Faisal Jamaludin Foto: Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 2515