IPPT LAHIR KERJASAMA DENGAN LANSKAP MALAYSIA
BERTAM, 5 Feb 2014 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, (IPPT), USM telah menerima kunjungan daripada Landskap Malaysia yang diketuai oleh YABhg. Tun Jeanne Abdullah, Pengerusi Landskap Malaysia bersama pegawai-pegawai Landskap Malaysia. Kehadiran mereka telah disambut oleh Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr Susie See Ching Mey; Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Profesor Abd Aziz Tajuddin; Pengerusi Jaringan Industri & Masyarakat dan Pensyarah Biosei Keselamatan Kimia & Jaminan Kualiti Kluster Perubatan Intergratif Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Dr Jahangir bin Kamaldin; pensyarah-pensyarah, ketua-ketua Kluster dan kakitangan-kakitangan yang terlibat dalam mesyuarat untuk Libatsama Kesarjanaan Di Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Malaysia.
Pihak Landskap Malaysia berhasrat untuk bekerjasama dengan USM dalam bidang tumbuhan ubatan yang merangkumi hortikultur, fitokimia dan terapeutik untuk aktiviti di Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Malaysia. Kerjasama ini diwujudkan dengan mengambilkira kekuatan dan minat bersama yang sinergistik dengan beberapa Jabatan di USM dalam kajian tumbuhan ubatan. Justeru, Pihak Jaringan Industri dan Masyarakat IPPT telah mengaturkan satu mesyuarat bersama dengan Landskap Malaysia yang bertempat di bilik seminar, Kompleks Penyelidikan Haiwan (ARC), IPPT Bertam, Pulau Pinang. Selain itu, mesyuarat ini juga bertujuan untuk mengenalpasti Ahli Akademia USM untuk Libatsama Kesarjanaan bagi Pembangunan Masyarakat dan Ekonomi dalam bidang Hortikultur, Fitokimia dan terapeutik tumbuhan ubatan.
Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Profesor Abd Aziz Tajuddin mengalu-alukan kehadiran YABhg. Tun Jeanne Abdullah, Pengerusi Landskap Malaysia serta pegawai-pegawainya di atas kesudian mereka untuk bekerjasama dengan IPPT, USM. Beliau juga berharap agar perbincangan ini berjaya menghasilkan natijah atau hasil yang akan memberikan manfaat kepada semua. Dalam mesyuarat berkenaan, Dr Jahangir Kamaldin telah memberikan sedikit gambaran tentang matlamat mesyuarat tersebut diadakan serta faedah yang akan diperolehi oleh kedua-dua pihak menerusi kerjasama ini. En Othman Suleiman, Pengurus Besar Landskap Malaysia, juga tidak ketinggalan memberikan sedikit pengenalan tentang Landskap Malaysia dan halatuju Landskap Malaysia. Menurut beliau, Landskap Malaysia bukan hanya tertumpu kepada aspek kecantikan sesebuah hutan tetapi lebih menyeluruh.
Sesi dialog diantara Landskap Malaysia dan Ahli Akademia IPPT/USM juga diselitkan dalam mesyuarat ini yang dikendalikan oleh Dr Jahangir Kamaldin. Dalam sesi ini kesemua ahli akademia IPPT, USM mengambil kesempatan untuk mengemukakan idea dan pandangan mengenai projek kerjasama ini.
Di akhir mesyuarat, YABhg. Tun Jeanne Abdullah bersama pegawai-pegawainya berkenan untuk melawat Taman Herba IPPT yang menempatkan berbagai jenis tumbuh-tumbuhan ubatan. Apa yang menarik mengenai Taman Harba ini, pengunjung boleh mendapatkan informasi berkenaan setiap tumbuhan yang ditanam menggunakan aplikasi Kod QR (quick response) menerusi alat mudah alih atau telefon bimbit.
Teks: Nurul Khairul Atiqah Rashidi (Pelajar Latihan Industri) Foto: Amir Zaidi Abu Hassan
- Last updated on .
- Hits: 3066