Skip to main content

USM PROMOSI PROGRAM AKADEMIK DI LIBYA

Libya

LIBYA, 13 Januari 2014 – Delegasi Malaysia yang disertai oleh 19 buah IPTA dan IPTS telah mengambil bahagian dalam Education Malaysia Exposition 2014 yang berlangsung pada 13 dan 14 Januari 2014 bertempat di Hotel Bab Al Bahr Tripoli, Libya. Di antara IPTA yang telah mengambil bahagian ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), IPTS ; Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS), Management & Science University (MSU), Lim Kok Wing University, Mahsa University College, Segi University dan lain-lain lagi.

Dianggarkan seramai 1500 orang pengunjung telah hadir ke ekspo ini. Delegasi USM diketuai oleh Prof. Madya Dr. Aldrin Abdullah, Dekan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan & Perancangan dan turut serta Encik Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid, Pegawai Penerangan IPPT. Booth USM telah menjadi tumpuan dan mendapat sambutan yang hebat daripada para pengunjung kerana rata-rata yang hadir amat berminat untuk menyambut pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah.

Turut sama membantu dalam memberi penerangan kepada pengunjung ialah dua orang pelajar pasca siswazah USM yang merupakan penduduk tempatan yang telah pulang bercuti di tanah air mereka. Mereka ialah saudara Saad Omer pelajar Phd dalam bidang Dental Science manakala saudara Emad pula baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Pendidikan. Dengan bantuan mereka penyampaian maklumat kepada pengunjung berkaitan program akademik USM menjadi lebih lancar dan menepati sasaran kerana kebanyakkan pengunjung yang hadir menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pertuturan.

Di antara bidang pengajian yang menjadi tumpuan para pengunjung ialah Teknologi Maklumat, Kejuruteraan, Perubatan, Farmasi, Sains Kesihatan, Perniagaan, Ekonomi, Senibina, Pengurusan Projek dan lain-lain lagi. Seterusnya, selain daripada mempromosikan program akademik misi USM ke Libya adalah sebahagian daripada usaha untuk pengantarabangsaan universiti yang merupakan inisiatif di bawah program Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan atau APEX (Accelerated Programme for Excellence).Turut sama menjayakan misi penting ke Libya ini ialah Pejabat Komunikasi Strategik USM yang bertanggungjawab sebagai koordinator untuk aktiviti promosi dan pemasaran USM di luar negara.

 

 

Teks / Foto : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid

  • Last updated on .
  • Hits: 2646